GAZA CITY, 8 Ogos - Rancangan Israel untuk mengambil alih Gaza City bakal membawa kesan jangka panjang yang besar, susulan keputusan kabinet keselamatan negara itu yang meluluskan peluasan operasi ketenteraan ke kawasan berkenaan.
Menurut felo kanan penyelidikan keselamatan Asia Barat di Royal United Services Institute (RUSI), Dr. Burcu Ozcelik, langkah itu bukan sahaja akan menyebabkan lebih banyak pengusiran penduduk Palestin, malah akan menghapuskan sebarang prospek penyelesaian dua negara di masa depan.
"Ini bukan sahaja meluaskan konflik, tetapi juga memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan menyekat lebih banyak bantuan serta keperluan asas kepada penduduk Gaza City," tegas Ozcelik.
Buat masa ini, masih tidak jelas sama ada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, merancang pendudukan jangka panjang atau operasi bersifat sementara di Gaza City.
Bagaimanapun, kereta kebal rejim Zionis dilaporkan mula berada berhampiran sempadan Gaza pada Jumaat.
Tindakan itu diambil walaupun menerima tekanan dan kritikan hebat dari dalam dan luar negara berikutan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan. - REUTERS