BEIJING, 8 Ogos - China bakal menjadi tuan rumah pertandingan Robot Humanoid pertama di dunia, yang akan bermula pada 14 Ogos ini.
Menurut Pengarah Biro Ekonomi dan Teknologi Maklumat Beijing, Jiang Guangzhi, sebanyak 280 pasukan dari seluruh dunia akan menyertai acara berprestij ini dengan membawa lebih 500 robot humanoid mewakili 127 jenama berbeza.
"Pada 14 Ogos, 280 pasukan ini akan membawa lebih 500 robot humanoid daripada 127 jenama untuk bertanding dalam 26 acara," katanya dalam sidang media yang berlangsung di sini hari ini.
Pertandingan ini akan menampilkan pelbagai acara yang menguji keupayaan, ketangkasan dan kecerdasan buatan (AI) robot-robot humanoid, termasuk sukan, cabaran penyelamatan, persembahan seni, dan interaksi manusia-robot.
Ia merupakan sebahagian daripada Persidangan Robot Dunia (World Robot Conference) yang juga dianjurkan di Beijing bulan ini, sebagai usaha China untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam pembangunan teknologi robotik global.
Dengan penglibatan ratusan pasukan dan jenama antarabangsa, acara ini dijangka menarik perhatian pelabur, saintis dan peminat teknologi dari seluruh dunia, serta menjadi platform penting dalam perkongsian ilmu, pameran teknologi baharu dan kerjasama antarabangsa. - AFP