N'DJAMENA, 8 Ogos - Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merayu bantuan kewangan segera bagi menangani penularan wabak kolera yang semakin teruk di Sudan dan timur Chad.
UNHCR memaklumkan bahawa sejak tercetusnya perang di Sudan pada April 2023, lebih 873,000 pelarian Sudan telah melintasi sempadan ke Chad, menjadikan Chad antara negara paling terkesan akibat krisis kemanusiaan ini.
"Kita sedang berdepan dengan krisis kesihatan awam dan kemanusiaan yang serentak, konflik bersenjata dan wabak penyakit berjangkit," kata UNHCR dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa hampir 100,000 kes kolera telah direkodkan di Sudan sejak Julai tahun lalu.
Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, wabak itu telah melanda kesemua negeri di Sudan, termasuk ibu negara, Khartoum, dan dikhuatiri akan menjadi lebih buruk susulan banjir yang baru-baru ini melanda beberapa wilayah utama.
"Keganasan yang tidak berkesudahan telah menyebabkan kelaparan, penyakit dan penderitaan yang meluas di Sudan," katanya dalam sidang media bersama Persatuan Wartawan PBB di Geneva.
Walaupun terdapat kempen vaksinasi kolera secara oral di beberapa negeri, termasuk di Khartoum, WHO memberi amaran bahawa trend penurunan kes masih rendah disebabkan kelemahan dalam pemantauan penyakit.
Banjir baru-baru ini dijangka memburukkan lagi krisis kesihatan, dengan peningkatan risiko penularan kolera, malaria, denggi dan penyakit berjangkit lain.
Selain wabak penyakit, Sudan turut berdepan krisis kelaparan yang semakin parah. Di El-Fasher, Darfur Utara, terdapat laporan penduduk terpaksa makan makanan haiwan untuk terus hidup.
WHO menjangkakan sekitar 770,000 kanak-kanak bawah lima tahun akan mengalami kekurangan zat makanan akut yang serius tahun ini.
"Selagi keganasan berlarutan, kita akan terus menyaksikan lebih banyak kelaparan, perpindahan paksa dan penyakit," tegas Dr. Tedros. - AFP