fb fb fb fb fb

Ramai ibu bapa AS ragu keselamatan vaksin

Foto REUTERS

NEW YORK, 16 September - Satu daripada enam ibu bapa di Amerika Syarikat menangguhkan atau tidak membenarkan vaksin rutin kanak-kanak, menurut tinjauan baharu Washington Post yang dikeluarkan pada Isnin.

Kebanyakan mereka menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan kesan sampingan serta kurang keyakinan terhadap pihak berkuasa kesihatan persekutuan untuk menjamin keselamatan vaksin.

Sekitar sembilan peratus ibu bapa memilih untuk tidak memberikan suntikan polio atau MMR (campak, beguk, rubela) kepada anak-anak mereka, suatu trend yang menurut pakar kesihatan awam boleh mencetuskan semula penularan penyakit berbahaya yang sebelum ini hampir dihapuskan melalui imunisasi.

Pada 2025, Amerika Syarikat mengalami wabak campak terburuk dalam lebih 30 tahun, dengan lebih 1,400 kes disahkan dan tiga kematian, termasuk dua kanak-kanak kecil.

Mereka yang menangguh atau menolak vaksin lebih cenderung dikenal pasti sebagai penyokong Republikan, berusia bawah 35 tahun, mempunyai kepercayaan agama tertentu atau mengajar anak di rumah.

Tinjauan Washington Post-KFF yang meluas itu juga menunjukkan ibu bapa enggan memberikan vaksin Covid-19 atau selesema kepada anak-anak mereka.

Kira-kira separuh kanak-kanak tidak mendapatkan suntikan selesema tahun lalu, manakala 56 peratus tidak yakin vaksin Covid-19 selamat untuk kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, majoriti besar ibu bapa Amerika masih menyokong vaksinasi, dengan 81 peratus berkata sekolah awam wajar terus mewajibkan suntikan campak dan polio.

Namun, penentangan terhadap vaksin semakin berkembang di A.S. sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagian besarnya didorong dakwaan palsu yang mengaitkan vaksin dengan autisme.

Setiausaha Kesihatan Persekutuan, Robert F. Kennedy Jr., memainkan peranan besar menyemarakkan keraguan itu dengan mengulangi dakwaan salah dan menimbulkan persoalan mengenai keselamatan vaksin.

Sebagai pegawai kesihatan tertinggi negara, beliau telah mengambil langkah mengehadkan akses kepada suntikan Covid-19 dan baru-baru ini memecat Sue Monarez daripada jawatannya sebagai Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berhubung garis panduan imunisasi.

Monarez dijadual memberi keterangan di hadapan jawatankuasa kesihatan Senat minggu ini.

Sementara itu, Jawatankuasa Penasihat Amalan Imunisasi (ACIP) iaitu badan penasihat saintifik yang membuat syor kepada CDC, dijangka bersidang hujung minggu ini.

Pada Isnin, CDC mengumumkan tambahan lima lagi anggota ACIP, termasuk individu yang menentang mandat vaksin Covid-19 serta mempromosikan rawatan penyakit itu yang belum terbukti berkesan. -AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD