WASHINGTON, 16 September - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin menubuhkan Memphis Safe Task Force, sebuah pasukan keselamatan khas yang meniru operasi penguatkuasaan undang-undang persekutuan di ibu negara.
Tindakan tersebut merupakan sebahagian inisiatif untuk membanteras keganasan bandar.
Trump berkata tindakan serupa bakal dilaksanakan di Chicago selepas ini.
Inisiatif itu akan melibatkan gabungan agensi persekutuan termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Imigresen dan Kastam (ICE), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) serta Perkhidmatan Marsyal A.S.
Selain itu, Angkatan Pengawal Kebangsaan dan pihak polis tempatan.
Peguam Negara AS, Pam Bondi akan mengetuai operasi berkenaan.
“Memphis merekodkan kadar jenayah keganasan tertinggi, kadar jenayah harta benda tertinggi, dan kadar pembunuhan ketiga tertinggi antara semua bandar di negara ini,” kata Trump.
Jurucakap bandar Memphis setakat ini belum mengulas lanjut.
Sementara itu, langkah Trump mengerahkan penguatkuasaan persekutuan dan Angkatan Pengawal Kebangsaan ke Washington dan Memphis mengundang kritikan hebat daripada pemimpin Demokrat dan aktivis hak sivil.
Mereka menyifatkan tindakan berkenaan sebagai sandiwara politik lebih berbanding strategi keselamatan awam.
Trump dan Republikan kini menjadikan isu jenayah sebagai teras strategi politik mereka, dengan mesej undang-undang dan ketenteraman untuk menarik pengundi.
Dengan penempatan di Memphis dan Washington serta janji mengambil tindakan keras di bandar lain, pentadbiran Trump menggambarkan jenayah ganas sebagai darurat nasional sambil menuduh Demokrat lemah dalam soal keselamatan awam.
Trump mengesahkan beliau turut berhasrat melaksanakan tindakan serupa di Chicago, St. Louis dan New Orleans. - REUTERS
