fb fb fb fb fb

AS serang kapal kedua Venezuela, tiga terbunuh

Foto REUTERS

WASHINGTON, 16 September - Pasukan tentera AS telah melancarkan serangan terhadap bot yang didakwa milik kartel dadah Venezuela umum Presiden Donald Trump pada Isnin.

Trump berkata tiga lelaki terbunuh dalam serangan itu, yang menurutnya berlaku di perairan antarabangsa.

Namun beliau tidak mengemukakan sebarang bukti menunjukkan kapal tersebut membawa dadah.

“Pagi ini, atas arahan saya, Angkatan Tentera A.S. telah melaksanakan serangan kedua terhadap kartel dadah luar biasa ganas serta pengganas narkotik yang dikenal pasti secara positif dalam kawasan tanggungjawab SOUTHCOM,” katanya di Truth Social.

“Kartel dadah yang sangat ganas ini mengancam keselamatan A.S., dasar luar, dan kepentingan penting A.S.,” tambah Trump. SOUTHCOM merujuk kepada Komando Selatan A.S., iaitu komando tempur tentera yang meliputi 31 negara di Amerika Selatan, Amerika Tengah, dan Caribbean.

Hantaran itu turut disertakan video hampir 30 saat dengan tanda “Unclassified” di bahagian atas, yang menunjukkan sebuah kapal di tengah lautan meletup sebelum terbakar.

Serangan terbaharu ini berlaku ketika A.S. meningkatkan kehadiran tenteranya di Caribbean selatan.

Lima pesawat pejuang F-35 dilihat mendarat di Puerto Rico pada Sabtu selepas pentadbiran Trump mengarahkan 10 jet pejuang generasi kelima itu menyertai penempatan tentera. Sekurang-kurangnya tujuh kapal perang A.S. turut berada di kawasan berkenaan bersama sebuah kapal selam berkuasa nuklear.

Kementerian komunikasi Venezuela setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD