CARACAS, 7 September - Penduduk Venezuela dilanda kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) berikutan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara.
Sebahagian penduduk menyuarakan kegusaran mengenai kemungkinan berlaku campur tangan tentera, mencerminkan kebimbangan terhadap konflik dan ketidaktentuan di negara Amerika Selatan itu.
"Ada yang tidak pasti sama ada mereka akan bangun esok dalam keadaan selamat kerana kemungkinan serangan bom.
"Saya rasa ia tidak bertanggungjawab kerana rakyat mahukan keamanan. Kami rakyat Venezuela tidak pernah menghadapi masalah seperti ini," kata Sergio Hoguera, seorang pesara, merujuk kepada potensi tindakan ketenteraan AS.
Kenyataan itu menggambarkan keresahan meluas susulan arahan AS untuk menghantar tambahan 10 pesawat pejuang halimunan ke rantau Caribbean sebagai sebahagian daripada penempatan ketenteraan.
Presiden Venezuela, Nicolas Maduro sebelum ini mendakwa AS cuba melakukan "pertukaran rejim melalui ancaman ketenteraan". Dakwaan itu bagaimanapun diketepikan Presiden AS Donald Trump pada Jumaat.
Trump baru-baru ini melaksanakan serangan ketenteraan sebagai sebahagian strategi baharu memerangi dadah, yang menyaksikan 11 individu maut dan sebuah bot dari Venezuela ditenggelamkan kerana dipercayai membawa dadah.
Menurut laporan CNN, Trump sedang mempertimbangkan serangan tambahan, termasuk sasaran kumpulan kartel dadah di dalam Venezuela, yang jika dilakukan bakal mencetuskan peningkatan ketara konflik.
Pihak White House, Pentagon dan Jabatan Negara AS enggan mengulas laporan berkenaan.
Walaupun berdepan ketidaktentuan, rutin harian penduduk Venezuela masih berjalan seperti biasa.
Rosalia Leon, seorang penjual kopi di Dataran BolĂvar, menyatakan kegusarannya: "Kami tidak mahukan peperangan. Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah melalui peperangan."
Di Valencia, negeri Carabobo, anggota militia Bolivarian dilihat ditempatkan di kawasan komuniti sebagai isyarat kesiapsiagaan kerajaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Dalam suasana penuh ketidakpastian, rakyat Venezuela terus menggesa keamanan, berharap konflik tidak memuncak.- REUTERS