fb fb fb fb fb

Putin gesa usaha pembinaan enjin roket dan pesawat baharu Rusia

Presiden Rusia, Vladimir Putin melawat perusahaan pembinaan enjin PJSC "Kuznetsov" di Samara, Rusia / Foto REUTERS

MOSCOW, 7 September – Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Jumaat menggesa pemain industri aeroangkasa negara itu meneruskan usaha membangunkan enjin roket untuk kenderaan pelancar angkasa, sekali gus memperkukuh reputasi Rusia sebagai peneraju teknologi angkasa lepas.

Putin, yang menghabiskan minggu lalu di China dan pelabuhan Vladivostok di timur jauh Rusia, terbang ke bandar Samara di selatan Rusia untuk bertemu pakar industri serta melawat kilang pembuatan enjin pesawat Biro Reka Bentuk Kuznetsov.

Memetik agensi berita Rusia, Putin menegaskan Rusia masih menjadi kuasa utama dalam pembangunan industri aeroangkasa.

“Adalah penting untuk memperbaharui kapasiti pengeluaran enjin roket secara konsisten,” katanya sambil menambah bahawa Rusia bukan sahaja perlu memenuhi keperluan semasa dan masa depan sendiri, malah bergerak aktif di pasaran dunia sebagai pesaing yang berjaya.

Beliau turut menekankan kejayaan Rusia menghasilkan inovasi dalam pembangunan enjin, khususnya sektor tenaga, meskipun berdepan sekatan Barat susulan pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.

“Dalam keadaan sekatan, kita berjaya dalam masa singkat membangunkan siri enjin inovatif untuk sektor tenaga,” katanya, sambil menjelaskan ia kini digunakan secara meluas termasuk dalam infrastruktur penghantaran gas.

Putin menyifatkan pembangunan itu sebagai “amat penting”, terutama bagi memperkukuh eksport gas Rusia, termasuk projek saluran paip Power of Siberia 2 yang sedang dibincangkan dengan China minggu ini bagi membekalkan gas Rusia ke negara itu.

Beliau memuji projek Power of Siberia 2 sebagai memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Cadangan laluan itu telah dikemukakan sejak beberapa tahun lalu, namun semakin mendesak apabila Rusia kini mengintai Beijing sebagai pelanggan utama bagi menggantikan Eropah yang cuba mengurangkan pergantungan kepada tenaga Rusia sejak pencerobohan Ukraine.

Selain itu, Putin juga menyorot pembangunan enjin pesawat PD-26 yang menurutnya akan membolehkan pemodenan pesawat pengangkut tentera dan membuka ruang kepada pembinaan generasi baharu pesawat penumpang berbadan lebar. REUTERS

“Pembangunan projek ini bukan sahaja membolehkan pemodenan pesawat pengangkut tentera, malah membuka prospek bagi pembinaan pesawat penumpang awam berbadan lebar generasi baharu,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD