fb fb fb fb fb

China kecam kehadiran kapal perang Kanada, Australia di Selat Taiwan

Sebuah kapal belayar di antara turbin angin di Selat Taiwan, berhampiran pantai Pulau Pingtan, wilayah Fujian, China / Foto REUTERS

BEIJING, 6 September – Tentera China pada Sabtu berkata pasukannya telah mengekori dan memberi amaran kepada kapal perang Kanada dan Australia yang belayar melalui Selat Taiwan, dalam tindakan yang dikritik sebagai provokasi.

Komando Teater Timur Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) menyatakan kapal frigat Kanada Ville de Quebec dan kapal pemusnah berpandu Australia Brisbane terlibat dalam “tindakan mencetuskan masalah dan provokasi”.

“Tindakan Kanada dan Australia menghantar isyarat yang salah serta meningkatkan risiko keselamatan,” katanya.

Jurucakap tentera Kanada berkata pihaknya tidak mengulas mengenai rancangan pelayaran kapal yang sedang dikerah.

Menurut kenyataan kerajaan Kanada, Ville de Quebec kini dikerahkan di bawah Operasi Horizon yang bertujuan mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik, serta minggu ini terlibat dalam latihan kebebasan pelayaran di zon ekonomi Filipina.

Tiada maklum balas segera daripada pihak tentera Australia.

Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan menegaskan ia sentiasa memantau aktiviti di selat itu dan akan “menghantar pasukan udara dan laut bagi memastikan keselamatan serta kestabilan” laluan perairan berkenaan, yang memisahkan China dan Taiwan

Tentera Laut AS, serta kapal dari negara sekutu termasuk Kanada, Britain dan Perancis, biasanya melalui Selat Taiwan sekitar sekali sebulan.

Mereka menganggapnya sebagai laluan perairan antarabangsa, pandangan sama yang turut dikongsi Taiwan.

Namun, China yang mendakwa Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya, menganggap Selat Taiwan sebagai sebahagian daripada sempadan perairannya iaitu dakwaan yang ditolak oleh kerajaan Taiwan.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, China meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap pulau itu termasuk menganjurkan latihan perang di kawasan berdekatan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD