KABUL, 7 September - Mangsa gempa bumi di Afghanistan terus berdepan kekurangan bekalan bantuan berikutan banyak kawasan terjejas dan sukar diakses untuk penghantaran bantuan.
Pada masa sama penduduk di negara itu terus diancam kebimbangan berikutan kejadian gempa masih berlaku.
Hampir seminggu selepas gempa bumi bermagnitud 6 melanda kawasan tersebut, lebih 2,200 nyawa terkorban manakala puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Penduduk di beberapa perkampungan seperti Bambakot kini terpaksa berlindung di bawah khemah kerana bimbang untuk kembali ke kediaman yang rosak akibat gegaran.
Jabar Khan, 43, pemilik bengkel tenunan permaidani yang sebelum ini menggaji kira-kira 250 wanita berkata, bencana itu dan kebimbangan terhadap gegaran susulan memberi kesan besar kepada keluarga serta sumber pendapatan penduduk setempat.
Sebahagian besar keluarga kini berpindah ke kawasan lapang dan penempatan sementara, bergantung kepada khemah serta bantuan adalah terhad. Dalam pada itu, bekalan perubatan yang dibiayai Amerika Syarikat masih disimpan kerana menunggu kelulusan Washington.
Amerika Syarikat, yang pernah menjadi penyumbang bantuan terbesar kepada Afghanistan, masih belum meluluskan bantuan kecemasan, sekali gus mencerminkan kesan daripada pemotongan bantuan asing serta penutupan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID).
Dengan gegaran susulan yang terus berlaku, mangsa seperti Khan bersama keluarga kekal terdedah, bimbang, dan berdepan kesukaran mendapatkan makanan, tempat perlindungan dan rawatan perubatan asas.- REUTERS