fb fb fb fb fb

Penduduk Washington D.C. bantah kehadiran Pengawal Kebangsaan

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 6 September – Ribuan penduduk ibu negara Amerika Syarikat berhimpun dalam perarakan "We Are All D.C." bagi mendesak Presiden Donald Trump menamatkan penugasan anggota Pengawal Kebangsaan di jalanan bandar itu.

Antara peserta termasuk pendatang tanpa dokumen dan penyokong Palestin yang melaungkan slogan menentang Trump sambil membawa sepanduk seperti "Trump must go now" dan "Free DC".

Seorang peserta, Alex Laufer, berkata kehadiran tentera dan pasukan persekutuan adalah tanda pemerintahan autoritarian. "Kami mahu kembalikan kebebasan bandar ini tanpa kawalan ketenteraan," katanya.

Trump sebelum ini mengarahkan lebih 2,000 anggota Pengawal Kebangsaan, termasuk dari enam negeri dipimpin Republikan, dikerahkan atas alasan untuk memulihkan undang-undang dan keselamatan. Malah, Polis Metropolitan D.C. turut diletakkan di bawah kawalan persekutuan.

Namun, data Jabatan Kehakiman menunjukkan jenayah keganasan pada 2024 sebenarnya mencatat paras terendah dalam 30 tahun di bandar berkenaan. Hakikat itu mencetus persoalan terhadap alasan penempatan tentera di jalanan.

Peguam Negara D.C., Brian Schwalb telah memfailkan saman untuk menyekat langkah tersebut dengan alasan ia tidak berperlembagaan. Bagaimanapun, ada juga penduduk yang menyokong kehadiran tentera di kawasan tertentu yang dianggap berisiko tinggi dengan jenayah.

Sementara itu, Datuk Bandar Washington D.C., Muriel Bowser menyambut baik penambahan anggota penguat kuasa persekutuan, namun berharap misi Pengawal Kebangsaan ditamatkan segera. Beliau mengakui berlaku penurunan kadar jenayah termasuk kes samun kenderaan sejak langkah itu dikuatkuasakan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE