fb fb fb fb fb

Konflik Gaza cecah hari ke-700, angka korban Palestin lebih 64,000

Foto REUTERS

GAZA CITY, 7 September - Angka korban rakyat Palestin di Gaza meningkat kepada 64,368 orang dengan lebih 160,000 lagi cedera menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza pada Sabtu.

Dalam tempoh 24 jam lalu, hospital di seluruh wilayah itu menerima 68 mayat mangsa serta 362 yang cedera, tambah pihak berkuasa berkenaan.

Pada hari sama, Pejabat Media Gaza dalam satu kenyataan berkata operasi ketenteraan Israel di Gaza kini memasuki hari ke-700, meninggalkan kesan kemanusiaan yang amat dahsyat.

Menurut kenyataan itu, konflik berkenaan telah menyebabkan lebih 70,000 penduduk sama ada terkorban atau hilang, termasuk lebih 20,000 kanak-kanak dan 12,500 wanita.

Pejabat itu turut menyatakan bahawa 90 peratus infrastruktur Gaza telah musnah, dengan kerugian ekonomi melebihi AS$68 bilion.

Tindakan ketenteraan Israel juga memusnahkan hospital, masjid dan sekolah, selain sekatan penuh rejim itu menyebabkan lebih 2.4 juta penduduk berdepan krisis kemanusiaan, termasuk lebih sejuta kanak-kanak yang berada di ambang kebuluran.

Palestin mengecam keras tindakan Israel serta menuduh negara-negara penyokongnya seperti Amerika Syarikat bertanggungjawab, sambil menggesa negara Arab dan Islam serta masyarakat antarabangsa segera bertindak menghentikan serangan Israel.

Selain itu, pihak berkuasa Palestin turut menggesa agar menarik balik sekatan, melindungi penduduk yang dipindahkan untuk kembali ke rumah masing-masing, sambil mendakwa pemimpin Israel di mahkamah.

Sementara itu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat memutuskan untuk menyambung semula persidangan antarabangsa peringkat tinggi mengenai penyelesaian dua negara pada 22 September, selepas proses itu tergendala musim panas lalu ekoran peningkatan keganasan di Asia Barat. - REUTERS

Perhimpunan itu menerima pakai keputusan lisan yang dicadangkan Arab Saudi bagi meneruskan Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi mengenai Penyelesaian Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara.

Selepas keputusan itu diluluskan, Israel dan Amerika Syarikat mengisytiharkan penolakan mereka, dengan alasan ia akan memanjangkan perang di Gaza dan menguatkan kedudukan Hamas.

Penyambungan semula persidangan ketika minggu peringkat tinggi UNGA memberi peluang lebih ramai ketua negara dan kerajaan menghadirinya.

Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sama ada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, dapat hadir secara fizikal berikutan sekatan visa yang dikenakan Amerika Syarikat terhadap pegawai Palestin.

Pada persidangan serupa yang lalu, yang dianjurkan bersama Perancis dan Arab Saudi dari 28 hingga 30 Julai, beberapa negara menyatakan kesediaan mereka untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin sempena minggu peringkat tinggi UNGA pada September ini. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD