fb fb fb fb fb

Rakyat Paraguay mengundi pilih Presiden

(FOTO AFP)

ANSUNCION, 1 Mei- Rakyat Paraguay keluar mengundi pada Ahad untuk memilih Presiden baharu yang diharapkan dapat menangani isu rasuah, peningkatan jenayah dan ketidaksamaan ekonomi.

Kira-kira 4.8 juta daripada 7.5 juta penduduk negara Amerika Selatan itu layak mengundi dalam pemilihan presiden.

Selain itu, rakyat Paraguay juga akan memilih Naib Presiden, ahli Parlimen dan Gabenor.

Dua calon yang dilihat paling menonjol ialah Santiago Pena, 44, dari Parti Colorado, parti yang memerintah dan telah berkuasa selama lebih 70 tahun manakala Efrain Alegre, 60, dari Parti Authentic Radical Liberal, kali terakhir bertanding pada 2013 dan 2018.

Efrain Alegre mengetuai pakatan yang merangkumi 14 parti pembangkang.

(Rakyat Paraguay keluar mengundi pada Ahad untuk memilih Presiden baharu/AFP)

Ketika pengundian dibuka, para calon menggesa rakyat Paraguay untuk mengundi dan berbuat demikian secara aman.

Pena meminta "pilihan raya menjadi tempat yang harmoni," manakala Alegre menggesa rakyat Paraguay untuk mengundi "dengan tenang."

"Semakin tinggi peratusan keluar mengundi, semakin besar legitimasi demokrasi," kata Presiden Mario Abdo Benitez yang tamat pemerintahan sepenggalnya.

Abdo menjadi antara yang pertama membuang undi di ibu negara Asuncion.

Pengundian kali ini menyaksikan peti undi elektronik digunakan buat kali pertama dalam sejarah pilihan raya Paraguay.

Paraguay berada di kedudukan 137 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International.

Selain dibayangi rasuah di peringkat atasan, yang  menimbulkan kemarahan pengundi, isu lain termasuk kemiskinan, ketidaksamaan sosial dan masalah jenayah yang semakin meningkat menjadi tumpuan utama.

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Paraguay dijangka berkembang 4.8 peratus pada 2023, menurut bank pusat, dan 4.5 peratus menurut Bank Dunia (IMF) salah satu kadar tertinggi di Amerika Latin.

Namun kemiskinan melanda kira-kira satu perempat daripada penduduk. -AFP

Media Baharu