fb fb fb fb fb

Mogok besar sektor awam Kanada jejaskan kelancaran imigresen

(FOTO REUTERS)

TORONTO, 1 Mei- Ketika mogok terbesar oleh oleh kakitangan awam memasuki minggu ketiga, urusan beribu-ribu orang di Kanada tergendala membabitkan jabatan imigresen Kanada apabila perbicaraan dibatalkan dan permohonan terhenti

Keadaan itu boleh menjadi antara penyebab  Kanada berdepan situasi sukar untuk bersaing bagi mendapatkan tenaga buruh asing kerana pasaran buruh yang semakin mengecut.

Kira-kira 155,000 penjawat awam Persekutuan melancarkan mogok sejak 19 April disebabkan oleh kadar gaji selain kesatuan juga mahu tempoh kerja dari rumah dimasukkan dalam perjanjian bersama.

Mogok itu menjejaskan semua orang, terdiri daripada penuntut suaka dan pelarian, yang pendengaran kes mereka dibatalkan sehinggalah saudara-mara yang ditaja warga Kanada bagi memasuki negara itu, pekerja asing dan pelajar asing, menurut peguam kepada Reuters.

Kanada menetapkan sasaran imigresennya ke tahap tinggi dan berharap dapat membawa masuk 500,000 pemastautin tetap baharu setahun menjelang 2025 untuk mengatasi kekurangan buruh dalam industri, daripada pembinaan hingga ke penjagaan kesihatan.

Kadar kelahiran Kanada yang lebih rendah menjadikan imigresen sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Susulan mogok itu, beberapa bakal pendatang baru dibiarkan menunggu, ada yang tertanya-tanya sama ada permit mereka akan tamat tempoh dan tidak kurang juga yang sudah lama menunggu untuk mendapatkan pasport antarabangsa.

Kelewatan yang disebabkan oleh mogok itu berlaku ketika sistem imigresen Kanada masih belum pulih sepenuhnya daripada kelewatan akibat pandemik.

(Kakitangan awam menyertai mogok berarak mengelilingi Pejabat Perdana Menteri dan bangunan Privy
Council, ketika mogok membabitkan 155,000 kakitangan awam Kanada yang menganggotai
Persekutuan Perkhidmatan Awam Kanada (PSAC) memasuki minggu ketiga/REUTERS
)

Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan (IRCC), Sean Fraser, berkata disebabkan mogok itu, berpuluh-puluh ribu fail belum dapat diproses.

"Semakin lama perkara ini berlanjutan, semakin teruk kesannya.

"Kami akan terus berusaha untuk mengenal pasti kawasan keutamaan di mana nyawa orang ramai mungkin berada dalam bahaya, bagi memastikan kami masih dapat mengekalkan fungsi penting itu," katanya.

Tambah Fraser, pihaknya mungkin perlu melihat keputusan dasar yang perlu dibuat untuk mengejar apa yang ketinggalan.

Jurucakap jabatan imigresen, yang kerjanya terjejas akibat mogok itu, tidak dapat memberikan butiran mengenai kesan mogok terhadap perkhidmatan imigresen.

Sistem imigresen yang dianggap tidak berfungsi boleh merumitkan usaha untuk menarik pekerja asing, kata peguam imigresen Guidy Mamann.

"Ia hanya memberikan sistem imigresen kami imej buruk. Dan jika anda bersaing untuk yang terbaik dan paling cemerlang, mereka yang paling mendapat permintaan, anda mahu kekal di bahagian atas senarai pilihan mereka." katanya. -REUTERS



Media Baharu