fb fb fb fb fb

Kebocoran gas di Punjab ragut 11 nyawa

PUNJAB, 30 April - Sekurang-kurangnya 11 maut dan empat lagi mangsa dimasukkan ke hospital selepas kebocoran gas di Ludhiana di Punjab di utara India, lapor agensi berita ANI, hari ini.

Menerusi video yang dikongsi oleh ANI, pasukan dari Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan turut berada di tapak berkenaan.

"Sebelas kematian telah disahkan," menurut Pesuruhjaya Polis Ludhiana, Mandeep Singh Sidhu kepada wartawan sambil menambah empat mangsa dimasukkan ke hospital.

Kelihatan Pegawai polis mengawal sekitar tapak itu dengan memakai pelitup muka serta meminta penduduk tempatan menjauhi kawasasan yang dikepung.

Sehingga kini, Sihdhu berkata pihak berkuasa belum mengenal pasti punca kebocoran serta jenis gas yang bocor.

"Apabila sampel darah dipadankan dengan sampel yang telah diambil oleh Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, barulah kami dapat memberitahu anda punca sebenar, jenis gas yang bocor," tambah Sidhu.

Kebocoran gas perindustrian akibat kurangnya pemeriksaan berkala dan langkah keselamatan yang lemah kerap berlaku di India.

Pada Ogos lalu, sekurang-kurangnya 112 wanita dimasukkan ke hospital selepas kebocoran gas di kilang membuat pakaian di Andhra Pradesh, negeri di selatan India.

Ia menyusuli kejadian hampir sama pada Jun sebelumnya apabila sekitar 200 wanita jatuh sakit selepas tidak sedarkan diri akibat terhidu gas di kawasan yang sama, menurut laporan NDTV.

Pada 2020, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan ratusan dimasukkan ke hospital selepas berlaku kebocoran gas di loji kimia di Visakhapatnam.

Pada 1984, India menyaksikan tragedi perindustrian terburuk apabila berlaku kebocoran gas di loji racun serangga di Bhopal, sebuah bandar di tengah India.

Sekurang-kurangnya 3,500 orang penduduk di sekitar loji yang dikendalikan Union Carbide itu maut dalam tempoh beberapa hari susulan kebocoran.

Sehingga kini masih ada mangsa yang mengadu mengenai kesan sampingan akibat kebocoran gas itu.

Akibat kesan kebocoran gas itu terhadap ibu mengandung, bayi yang dilahirkan cacat dengan kaki dan tangan berselaput selain tumbesaran mereka terbantut. - AFP

(Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan tiba untuk memeriksa kemalangan kebocoran gas di sebuah kilang di Ludhiana/FOTO AFP)

Media Baharu