fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia di Rusia selamat, keadaan tenang - Kedutaan

(FOTO AFP)

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Semua rakyat Malaysia termasuk pelajar di Rusia ketika ini berada dalam keadaan selamat kerana situasi keseluruhan di negara itu adalah tenang dan aman, menurut Kedutaan Besar Malaysia di Moscow.

Kedutaan itu dalam kenyataan malam ini memaklumkan bagaimanapun, sesetengah rakyat Malaysia mungkin berdepan gangguan dalam mengakses perkhidmatan perbankan dan kewangan seperti Pindahan Dana Elektronik (EFT) dari Malaysia ke akaun mereka dengan bank tertentu di Persekutuan Rusia.

Kenyataan itu menyebut pihak berkuasa Rusia sudah meneliti perkara tersebut kerana Bank Pusat Rusia telah memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Ruble (mata wang Rusia) boleh terus didapati dan diakses.

“Institusi sama telah mengambil langkah untuk memastikan kecairan domestik adalah mencukupi yang membolehkan orang ramai lebih mudah mengakses wang tunai.

“Rakyat Malaysia yang masih berdepan kesulitan perbankan EFT dengan akaun Rusia mereka, atau/dan memerlukan bantuan konsular dinasihatkan menghubungi kedutaan melalui hotline dan e-mel khas kami (Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.),” menurut kenyataan itu.

(Orang ramai beratur di luar cawangan Sberbank Bank milik Rusia untuk mengeluarkan simpanan dan menutup akaun mereka/Foto AFP)

Kedutaan akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa Rusia yang berkaitan dan akan terus menasihati rakyat Malaysia mengenai perkembangan lanjut melalui saluran khas terbabit.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya bertenang dan meneruskan rutin mereka kerana perkhidmatan awam berjalan seperti biasa manakala barangan serta perkhidmatan yang diperlukan masih boleh didapati, harga berpatutan dan boleh diakses. - BERNAMA 

Media Baharu