SARYZHAL, 30 November- Ketika Rusia memberi amaran tentang peningkatan risiko perang nuklear, dan hubungan dengan Amerika Syarikat semakin meruncing, komuniti yang berada dekat dengan tapak ujian nuklear di utara Kazakhstan mempunyai mesej untuk para pemimpin iaitu "biar kami dijadikan eksperimen."
Beratus-ratus ujian telah dijalankan antara tahun 1949 dan 1989 di padang rumput tandus berhampiran bandar Semey yang dikenali sebagai Semipalatinsk berhampiran dengan sempadan Kazakhstan-Rusia.
Kesan sinaran itu memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk tempatan, dan terus menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan itu.
Ketegangan terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine membawa kepada retorik yang semakin bermusuhan, selain kawalan senjata yang dibina sejak kejatuhan Kesatuan Soviet lebih tiga dekad lalu mula terungkai.
Pada awal November, Presiden Vladimir Putin membatalkan ratifikasi Rusia terhadap perjanjian global 1996 yang melarang ujian senjata nuklear.
Namun Moscow berkata ia tidak akan membawa kepada penyambungan semula ujian itu melainkan Amerika Syarikat melakukannya terlebih dahulu.
"Biarlah penderitaan kita menjadi pengajaran kepada orang lain," kata Serikbay Ybyrai, pemimpin tempatan di kampung Saryzhal, yang melihat ujian dijalankan kira-kira 20 kilometer jauhnya ketika dia masih kecil. "Jika (ujian) ini diteruskan, manusia akan hilang."
Apabila ia diletupkan di atas tanah pihak berkuasa akan mengarahkan penduduk tempatan keluar dari rumah dan sekolah kerana bimbang gegaran tanah mungkin menyebabkan bangunan runtuh.
"Saya masih ingat saya berumur kira-kira lima tahun," kata Baglan Gabullin, seorang penduduk Kaynar, sebuah lagi kampung yang hidup dalam kawasan ujian nuklear.
Dia teringat orang dewasa akan mengarahkan dia dan rakan-rakannya supaya tidak melihat ke arah letupan itu.
"Kami kecil pada ketika itu, kerana ingin tahu kami cuba untuk melihat. Kilatan pada mulanya kuning, dan kemudian asap hitam mula berkepul bak cendawan tumbuh," katanya.
Pihak berkuasa Kazakhstan menganggarkan kira-kira 1.5 juta orang terdedah kepada sisa radioaktif daripada ujian nuklear itu. L
Sementara itu lebih satu juta penduduk menerima sijil yang mengesahkan status mereka sebagai mangsa ujian, menjadikan mereka layak menerima bayaran bulanan 18,000 tenge ($40).- REUTERS