fb fb fb fb fb

Rakyat Jepun berhimpun di Tokyo bantah lawatan ke Kuil Yasukuni

Foto AFP

TOKYO, 16 Ogos – Ratusan rakyat Jepun berhimpun di Tokyo pada Jumaat bagi membantah lawatan pegawai kerajaan ke Kuil Yasukuni, yang menghormati 14 penjenayah perang Kelas-A Perang Dunia Kedua dan dianggap simbol militarisme Jepun.

Para penunjuk perasaan berarak sambil membawa sepanduk bertulis “Tolak Kuil Yasukuni” dan “Tolak Perang,” selain mendesak kerajaan mengakui sepenuhnya kekejaman perang lampau serta bertanggungjawab terhadap tindakan agresif Jepun di Asia.

Ketika upacara tahunan memperingati mangsa perang bersempena ulang tahun ke-80 penyerahan tanpa syarat Jepun, Perdana Menteri Shigeru Ishiba menyatakan rasa kesal terhadap tindakan Jepun semasa perang.

Namun, pengkritik menegaskan ucapan itu gagal menyentuh secara langsung soal tanggungjawab negara terhadap serangan yang dilancarkan ke atas negara-negara Asia.

Walaupun Ishiba tidak melawat Kuil Yasukuni, beberapa ahli politik daripada Parti Liberal Demokratik tetap berbuat demikian, mencetuskan kritikan lanjut daripada penunjuk perasaan. Mereka menyifatkan kuil itu sebagai lambang nasionalisme serta militarisme dan kunjungan ahli politik boleh ditafsirkan sebagai usaha menghidupkan semula semangat perang.

Selain di Tokyo, bantahan serupa turut diadakan di beberapa wilayah lain termasuk Kanagawa dan Osaka dengan peserta menuntut Jepun terus melakukan refleksi sejarah dan menegaskan komitmen kepada keamanan. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN