BERLIN, 16 Ogos – Beberapa kawasan di Jerman mencatatkan suhu melebihi 35 darjah Celsius minggu ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan perubahan iklim yang semakin ketara.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Jerman (DWD), suhu mencecah 37 darjah Celsius di Rheinfelden, Baden-Württemberg berhampiran sempadan Switzerland, berdasarkan bacaan awal pada Rabu.
Orang ramai termasuk pelancong di Berlin dilihat terkesan dengan cuaca panas terik itu. “Sekarang terlalu panas. Kalau suhu 30 darjah Celcius lebih baik,” kata seorang pelancong dari Poland. Seorang lagi pengunjung dari Marseilles, Perancis pula menyatakan suhu panas di Berlin kini menyamai keadaan di kampung halamannya di selatan Perancis.
Pelancong berkenaan turut menegaskan perubahan iklim semakin jelas apabila musim panas di Eropah menjadi lebih panas berbanding dua dekad lalu, malah gelombang haba di Perancis kini boleh mencecah 40 hingga 45 darjah Celsius.
DWD melaporkan purata suhu di Jerman meningkat secara berterusan sejak beberapa dekad kebelakangan ini dengan hari gelombang haba pada musim panas semakin kerap berlaku. -REUTERS