GAZA CITY, 17 Ogos – Agensi Pertahanan Awam Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh pada Sabtu akibat serangan Israel, sambil memberi amaran bahawa pengeboman berterusan di sebuah kawasan kejiranan Gaza City meletakkan ribuan penduduk dalam bahaya.
Jurucakap agensi itu, Mahmud Bassal, berkata keadaan di kejiranan Zeitun semakin meruncing dengan penduduk hampir tidak mempunyai akses kepada makanan dan air.
Beliau menganggarkan sekitar 50,000 orang masih berada di kawasan itu, “majoritinya tanpa makanan atau air” serta tidak memiliki “keperluan asas kehidupan”.
Menurut agensi berkenaan, sekurang-kurangnya 13 daripada mangsa yang terbunuh pada Sabtu ditembak tentera Israel ketika sedang menunggu untuk mendapatkan bantuan makanan di beberapa lokasi edaran di utara dan selatan Gaza.
Bassal menuduh Israel melakukan “penghapusan etnik” di Zeitun, namun pihak berkuasa Israel menolak dakwaan itu dan menegaskan operasi ketenteraan dijalankan mengikut undang-undang antarabangsa serta berusaha meminimumkan kematian orang awam.
Awal bulan ini, kerajaan Israel meluluskan rancangan untuk menawan Gaza City dan kem berdekatan yang merupakan antara kawasan paling padat di wilayah itu.
Pada Jumaat, tentera Israel mengesahkan pasukan mereka sedang beroperasi di Zeitun.
Dalam kenyataan berasingan, Hamas mendakwa tentera Israel melancarkan “serangan berterusan di kawasan timur dan selatan Gaza City, khususnya di Zeitun” dengan menggunakan jet pejuang, artileri dan dron.
Sementara itu, COGAT, agensi di bawah Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal awam di wilayah Palestin memaklumkan pihak tentera akan menyalurkan lebih banyak khemah dan peralatan perlindungan mulai Ahad sebagai persediaan untuk memindahkan penduduk dari zon pertempuran ke selatan Gaza.
“Sebagai sebahagian daripada persediaan memindahkan penduduk dari kawasan pertempuran ke selatan Gaza demi keselamatan mereka, bekalan khemah dan peralatan perlindungan akan diteruskan,” menurut kenyataan itu.
Rancangan Israel untuk memperluaskan peperangan mencetuskan bantahan antarabangsa serta penentangan dalam negara sendiri.
Pakar yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran mengenai kebuluran besar-besaran di Gaza, ketika Israel terus mengehadkan kemasukan bantuan kemanusiaan secara drastik. - AFP