OTTAWA, 17 Ogos – Kerajaan Kanada pada Sabtu mengarahkan langkah segera untuk menamatkan mogok kru kabin Air Canada dengan meminta Lembaga Perhubungan Perindustrian Kanada (CIRB) melaksanakan timbang tara mandatori.
Menteri Pekerjaan, Patty Hajdu, berkata langkah itu bertujuan mengarahkan kedua-dua pihak iaitu syarikat penerbangan dan kesatuan kembali ke meja rundingan sekali gus menamatkan mogok yang mencetuskan kekacauan perjalanan udara di seluruh negara.
Mogok itu bermula tengah malam Sabtu apabila ribuan kru kabin yang diwakili Kesatuan Pekerja Awam Kanada (CUPE) mengadakan mogok berhubung pertikaian kontrak gaji.
Tindakan itu menyebabkan Air Canada terpaksa membatalkan kira-kira 700 penerbangan sehari.
Keadaan itu menyebabkan lebih 100,000 penumpang terjejas, sama ada terkandas atau perlu mencari penerbangan alternatif.
Air Canada dalam kenyataan memaklumkan, operasi penuh dijangka mengambil masa empat hingga lima hari untuk dipulihkan sekiranya arahan kerajaan dilaksanakan.
Syarikat penerbangan berpangkalan di Montreal itu sebelum ini menawarkan kenaikan pampasan keseluruhan sebanyak 38 peratus dalam tempoh empat tahun, termasuk kenaikan gaji 25 peratus pada tahun pertama.
Namun, CUPE menolak tawaran itu dan menuntut bayaran untuk masa bekerja di darat, termasuk ketika membantu penumpang menaiki pesawat.
Presiden CUPE bahagian Air Canada, Wesley Lesosky, berkata tiada rundingan tambahan dijadualkan selepas beberapa siri rundingan yang berbulan-bulan gagal menemui kata sepakat.
Ratusan kru kabin mengadakan piket di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson, dengan demonstrasi serupa berlangsung di lapangan terbang utama lain seperti Montreal, Calgary dan Vancouver.
Air Canada berkata, pembatalan turut membabitkan penerbangan tambang murah Air Canada Rouge, manakala penerbangan syarikat sekutunya, Air Canada Jazz dan PAL Airlines, beroperasi seperti biasa. - REUTERS
Menurut sumber, CUPE turut menuntut kenaikan gaji dengan kru Air Transat, syarikat penerbangan leisure Kanada, yang tahun lalu meluluskan kontrak baharu dengan kenaikan terkumpul 30 peratus dalam tempoh lima tahun – sekali gus menjadikan mereka kru kabin dengan bayaran tertinggi di negara itu. - REUTERS