fb fb fb fb fb

Pemimpin Eropah desak kedaulatan Ukraine dihormati

Bendera Kesatuan Eropah (EU) berkibar di luar bangunan Suruhanjaya Eropah di Brussels, Belgium /Foto REUTERS

BRUSSELS, 17 Ogos – Pemimpin utama Eropah menegaskan kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine mesti dihormati sepenuhnya, susulan pertemuan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Alaska, pada Sabtu.

Dalam kenyataan secara bersama, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Canselor Jerman, Friedrich Merz; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Presiden Finland, Alexander Stubb; Perdana Menteri Poland, Donald Tusk; serta Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa berkata Trump sudah memberi taklimat kepada mereka dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengenai hasil pertemuan itu.

Pemimpin Eropah menggesa rundingan diteruskan dengan penglibatan Zelensky yang dijangka bertemu Trump dalam masa terdekat.

Mereka turut menekankan Ukraine perlu mendapat “jaminan keselamatan kukuh” bagi mempertahankan kedaulatan, sambil mengalu-alukan komitmen Trump bahawa Washington bersedia memberi jaminan berkenaan.

Dalam kenyataan itu, Eropah turut bersedia bekerjasama dengan Trump dan Zelensky ke arah sidang kemuncak tiga hala.

“Tiada sekatan harus dikenakan ke atas angkatan tentera Ukraine atau kerjasamanya dengan negara lain.

"Rusia tidak boleh diberi kuasa veto terhadap laluan Ukraine ke EU dan NATO,” kata kenyataan itu.

Pemimpin berkenaan menegaskan hanya Ukraine berhak menentukan wilayahnya, sementara sempadan antarabangsa tidak boleh diubah dengan kekerasan.

Selagi pertempuran berlarutan, Eropah akan mengekalkan tekanan terhadap Rusia melalui sekatan lebih ketat dan langkah ekonomi menyasarkan ekonomi perang Moscow.

Pertemuan Trump-Putin yang berlangsung selama tiga jam digambarkan kedua-dua pihak sebagai “membina” dan “produktif”, namun tiada persetujuan dicapai. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD