fb fb fb fb fb

Rakyat Guinea-Bissau pilih presiden baharu, 102 penggubal undang-undang

Para penyokong Presiden Guinea-Bissau, Umaro Sissoco Embalo berkempen untuk beliau / Foto REUTERS

BISSAU, 23 November - Rakyat Guinea-Bissau akan mengundi pada Ahad bagi memilih presiden baharu dengan harapan dapat membuka lembaran baharu ekoran pergolakan politik yang berterusan walaupun parti pembangkang utama dihalang daripada bertanding.

Kira-kira 860,000 pengundi akan memilih antara 12 calon presiden, dengan kestabilan menjadi isu utama memandangkan pelbagai krisis politik yang mengugat negara Afrika Barat itu sejak kemerdekaan daripada Portugal pada 1974, termasuk empat rampasan kuasa dan sejumlah besar cubaan rampasan kuasa.

Tuntutan paling utama bagi rakyat ialah peningkatan taraf hidup, termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur yang lebih baik.

Guinea-Bissau yang memiliki populasi berjumlah kira-kira 2.2 juta turut menuntut lebih banyak peluang pekerjaan dan pembaharuan untuk memerangi kemiskinan, rasuah dan pengedaran dadah.

Dengan hampir 40% penduduk hidup dalam kemiskinan tegar, Guinea-Bissau merupakan antara negara termiskin di dunia.

Ia juga menjadi hab pengedaran dadah antara Amerika Latin dan Eropah, satu perdagangan yang didorong oleh sejarah panjang ketidakstabilan politik negara itu.

Pusat pengundian dibuka pada 7:00 pagi (waktu tempatan dan GMT) dan dijadualkan tutup pada 5:00 petang. Keputusan awal dijangka tidak lewat daripada Khamis.

Alamar Bidinthile, 40, berkata beliau mengundi untuk “perubahan” dan “kestabilan”.

Mayo Sa, seorang pekerja binaan berusia 53 tahun, menambah: “Saya telah mengundi sejak muda tetapi tiada perubahan di negara ini. Saya harap kali ini perkara itu tidak berulang.”

Penyandang Presiden, Umaro Sissoco Embalo, 53, dijangka memenangi pusingan pertama. Jika berjaya, beliau akan menjadi ketua negara pertama yang berkhidmat untuk dua penggal berturut-turut sejak sistem multiparti diperkenalkan pada tahun 1994.

Pencabar terdekatnya ialah calon pembangkang Fernando Dias, yang menerima sokongan parti pembangkang berpengaruh PAIGC, yang telah dihalang daripada menyertai pilihan raya.

Untuk pertama kali dalam sejarah, PAIGC yang memimpin negara bekas koloni Portugis itu ke arah kemerdekaan pada 1974 dan merupakan parti tunggal yang lama memerintah — tidak tertulis dalam kertas undi.

Parti itu dan pemimpinnya Domingos Simoes Pereira yang baru sahaja kembali dari buangan, hilang kelayakan untuk bertanding selepas Mahkamah Agung memutuskan bahawa permohonan pencalonan bagi pilihan raya legislatif dan presiden mereka dihantar selepas tarikh akhir.

Pereira dan Embalo ialah seteru politik tegar. Pilihan raya presiden terakhir pada 2019 menyaksikan krisis pasca pilihan raya selama empat bulan apabila kedua-duanya mendakwa memperoleh kemenangan.

Pilihan raya pada Ahad juga akan menyaksikan pengundi memilih 102 ahli parlimen.

Pada 2023, Embalo membubarkan badan perundangan yang dikuasai pembangkang dan sejak itu memerintah melalui dekri.

Pihak pembangkang mendakwa pengecualian PAIGC daripada pilihan raya presiden dan parlimen merupakan satu bentuk “manipulasi” dan menegaskan bahawa tempoh Embalo telah tamat pada 27 Februari, tepat lima tahun selepas pelantikannya.

Walaupun keadaan kacau-bilau, tempoh kempen selama tiga minggu berlangsung dalam suasana meriah dan berakhir pada Jumaat tanpa sebarang insiden besar atau keganasan.

Lebih 6,780 anggota pasukan keselamatan, termasuk dari Pasukan Penstabilan ECOWAS, telah ditempatkan bagi pemilihan dan tempoh selepas pilihan raya.

Ruang udara Guinea-Bissau, serta sempadan darat dan laut, akan ditutup sepanjang Ahad. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN