fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Korea Selatan berjaya dikawal sepenuhnya

Anggota penyelamat mengawal kebakaran hutan yang berlaku di Yangyang, wilayah Gangwon, Korea Selatan/ REUTERS

YANGYANG, 23 November – Kebakaran hutan yang berlaku di Yangyang, wilayah Gangwon berjaya dikawal sepenuhnya sekitar pukul 10.20 pagi waktu tempatan pada Ahad, menurut pihak berkuasa Korea Selatan.

Kebakaran itu tercetus kira-kira pukul 6.10 petang pada Sabtu sekali gus memaksa ratusan penduduk di kawasan timur laut negara itu dipindahkan selepas amaran Respons Kebakaran Hutan Tahap 1 diaktifkan awal pagi Ahad.

Sebanyak 326 anggota penyelamat dikerahkan sepanjang malam bagi mengawal api, sebelum sejumlah 26 helikopter digerakkan sebaik hari terang.

Rakaman Perkhidmatan Hutan Korea menunjukkan api marak di lereng gunung ketika usaha pemadaman dijalankan.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa kebakaran tidak merebak ke kawasan perumahan dan memusnahkan sekitar 22.5 hektar hutan.

Punca kejadian masih dalam siasatan. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN