YANGON, 23 November - Junta Myanmar menahan hampir 1,600 warganegara asing dalam tempoh lima hari dalam operasi besar-besaran di hab penipuan siber di sempadan Thailand.
"Data terkini yang diumumkan junta menunjukkan 1,590 warga asing yang memasuki Myanmar secara haram telah ditahan dari 18 hingga 22 November dalam serbuan di pusat perjudian dan penipuan Shwe Kokko, menurut media kerajaan, The Global New Light of Myanmar.
“Selain itu, pihak berkuasa merampas 2,893 komputer, 21,750 telefon bimbit, 101 peranti satelit Starlink, 21 alat penghala atau router dan sejumlah besar bahan industri yang digunakan dalam kegiatan penipuan dan perjudian dalam talian,” lapor akhbar itu.
Siasatan AFP bulan lalu mendedahkan sejumlah besar peranti satelit Starlink telah dipasang di bumbung kompleks penipuan dengan syarikat milik Elon Musk mengumumkan telah menyahaktifkan lebih 2,500 peranti.
The Global New Light of Myanmar juga melaporkan pada Sabtu sahaja, 223 individu, termasuk 100 warga China telah ditahan kerana melakukan penipuan dan menjalankan perjudian dalam talian di Shwe Kokko.
Video yang dikeluarkan oleh media tempatan menunjukkan sebuah penggelek menghancurkan ratusan monitor komputer yang disusun berhampiran timbunan telefon bimbit yang telah dipecahkan di kompleks Shwe Kokko pada Sabtu.
Pusat penipuan siber yang menempatkan ribuan pekerja sukarela serta mangsa pemerdagangan manusia dari luar negara, telah berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar yang kurang dikawal sejak rampasan kuasa 2021 yang mencetuskan perang saudara di negara itu.
Walaupun China merupakan sekutu kuat junta, para penganalisis berkata, Beijing semakin berang terhadap penipuan yang berleluasa yang menyasarkan dan melibatkan warganya.
Mangsa penipuan di Asia Tenggara dan Asia Timur sahaja telah kerugian sehingga $37 bilion Dolar pada 2023, menurut laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu dengan angka kerugian global berkemungkinan “jauh lebih besar”. - AFP