SINGAPURA, 23 November - Seorang lelaki warganegara Australia yang dipenjarakan selama sembilan hari selepas cuba 'menerkam' bintang filem, Ariana Grande pada tayangan perdana filem sekuel 'Wicked: For Good' di Singapura dihantar pulang ke negara asalnya.
"Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Johnson Wen telah dihantar pulang selepas hukuman penjaranya berakhir dan tidak dibenarkan memasuki semula Singapura," menurut kenyataan pihak berkuasa imigresen negara itu yang dipetik stesen penyiaran CNA.
Dalam kejadian pada 13 November lepas, Wen melompat melepasi penghadang dan memeluk Grande.
Dia ditangkap beberapa jam kemudian dan didakwa kerana “mengganggu ketenteraman awam”.
Minggu lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari ke atas Wen.
Klip video yang tular dalam talian menunjukkan Wen memeluk bintang itu yang kelihatan terkejut sebelum dia melompat-lompat sambil tersenyum dan melambai kepada orang ramai.
Rakan artis Grande, Cynthia Erivo, kemudian bergegas melindunginya dan lelaki itu ditahan pengawal keselamatan sebelum dicampakkan kembali ke belakang penghadang.
Hakim Mahkamah Daerah Singapura, Christopher Goh, yang menjatuhkan hukuman penjara tersebut, menyifatkan warga Australia itu sebagai “cuba mencari perhatian”.
"Wen, yang sebelum ini turut didakwa telah mengganggu acara sukan dan konsert global lain, “menunjukkan corak tingkah laku” yang memungkinkan dia mengulanginya, " kata hakim itu sebelum keputusan minggu lalu diumumkan.
Hukuman penjara itu jauh lebih rendah berbanding hukuman maksimum yang diperuntukkan undang-undang iaitu tiga bulan penjara, denda $1,500 Dolar, atau kedua-duanya sekali.
Wen memberitahu mahkamah bahawa dia “salah” kerana menyangka tindakannya tidak akan membawa kesan dan berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Insiden itu bagaimanapun tidak menjejaskan majlis tayangan perdana, dengan para pelakon mengerumuni Grande sebelum meneruskan acara di karpet kuning.
Grande, 32, memulakan kerjaya pada usia remaja di Broadway sebelum menceburi kerjaya muzik pop. - AFP