fb fb fb fb fb

Rakyat Gaza cari makan di tempat pembuangan sampah

Foto REUTERS

GAZA, 16 Julai-Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing sehingga menyebabkan penduduknya terpaksa mencari makanan di tempat pembuangan sampah dan ladang.

Mereka menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk mencari makanan di kawasan itu.

Seorang wanita Gaza menunjukkan nasib kanak-kanak dan menuduh dunia tidak bertanggungjawab terhadap negaranya.

"Semua orang arab, kepada setiap negara, dan setiap manusia yang melihat kami, apa yang kita bawa kepada kanak-kanak ini?..kepada siapa mereka ditinggalkan?..rumah mereka hancur, keputusasaan menyelubungi mereka dan mereka dihimpit dengan pelbagai penyakit.

"Setiap manusia yang melihat kanak-kanak ini dan tidak berkata apa-apa, apakah tanggungjawab anda?..kelaparan membunuh mereka, kebimbangan menghancurkan mereka..kepada setiap manusia yang mengabaikan mereka..adakah anda buta?..anda di mana?..apa yang berlaku kepada rakyat ini adalah memalukan. Bagaimana anda akan menjawab di hadapan Allah SWT. Kami merayu kepada setiap negara," katanya kepada REUTERS di sini.

Israel menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan terhadap Gaza, sejak 7 Oktober lalu.

Penjajah berkenaan turut melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera.

Hampir 38,700 rakyat Palestin telah terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 89,000 lagi mengalami kecederaan, menurut pihak berkuasa tempatan. - REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM