(Polis Colombia mengiringi raja dadah Daniel Rendon Herrera atau "Don Mario", di lapangan
terbang tentera Catam di Bogota pada 15 April 2009/REUTERS)
NEW YORK, 18 Oktober- Raja dadah Colombia yang digelar Don Mario, dijatuhi hukuman penjara 35 tahun di penjara Amerika Syarikat.
Tahun lalu, Don Mario, atau nama sebenarnya Daniel Rendon Herrera, mengaku bersalah di mahkamah New York kerana menjalankan kegiatan dadah dan bersubahat menyokong kumpulan pengganas dipanggil Clan del Golfo (puak Teluk).
Hukuman itu "menandakan tamatnya kegiatan jenayah berkaitan perniagaan dadah Rendon Herrera, pernah dilabel 'pengganas narkotik' paling digeruni di Colombia," kata Breon Peace, pendakwa bagi Daerah Timur New York.
Rendon Herrera pernah menjadi ketua United Self-Defense Forces of Colombia, dikenali sebagai AUC, yang ditetapkan oleh kerajaan AS pada tahun 2001 sebagai organisasi keganasan global.
Dia mengaku di mahkamah memberi sokongan material kepada organisasi pengganas yang membunuh, menculik, dan menyeksa pengedar dadah dan orang awam saingannya, menurut Jabatan Kehakiman AS dalam satu kenyataan.
(Anggota polis berdiri di sebelah senjata yang dirampas semasa pameran untuk akhbar di
Bogota 7 April 2008. Sebanyak 148 senapang serbu telah dirampas daripada penyeludup
dadah Daniel Rendon, lebih dikenali sebagai Don Mario, semasa operasi "Colombia 10",
kata pihak berkuasa/REUTERS)
Rendon Herrera juga mengaku telah memperdagangkan lebih 80 tan kokain sebagai sebahagian daripada empayar dadah bernilai berbilion dolar.
Sebagai tambahan kepada hukuman penjaranya, Hakim Doris Irizarry memerintahkan raja dadah berusia 57 tahun dari wilayah Antioquia itu, membayar ganti rugi berjumlah AS$45.7 juta. -AFP