fb fb fb fb fb

Bertindak terlalu cepat dengan pembaharuan cetuskan kegawatan ekonomi, Truss mohon maaf

(Perdana Menteri Britain, Liz Truss memohon maaf kerana bertindak 'terlalu cepat' dengan
pembaharuan yang mencetuskan kegawatan ekonomi/ AFP)

LONDON, 18 Oktober - Perdana Menteri Britain, Liz Truss memohon maaf kerana bertindak 'terlalu cepat' dengan pembaharuan yang mencetuskan kegawatan ekonomi, tetapi berikrar untuk kekal sebagai pemimpin walaupun berlaku beberapa perkara yang memalukan.

"Saya mahu menerima tanggungjawab dan memohon maaf atas kesilapan yang telah dilakukan...kami pergi terlalu jauh dan terlalu pantas," katanya kepada BBC.

Bagaimana pun, beliau berkata bahawa beliau 'komited sepenuhnya untuk memberikan sumbangan untuk negara ini' walaupun timbul persoalan mengenai siapa yang kini mengawal dasar kerajaan.

Kerajaannya pada hari Isnin memansuhkan hampir semua pemotongan cukai yang didorong oleh hutang yang diumumkan bulan lalu untuk mengelakkan kekacauan pasaran baharu.

Tindakan mengejutkan oleh ketua kewangan baharu, Jeremy Hunt yang menggantikan Kwasi Kwarteng yang dipecat, menyebabkan kedudukan Truss dalam keadaan tidak menentu.


(Tindakan mengejutkan oleh ketua kewangan baharu, Jeremy Hunt yang menggantikan Kwasi
Kwarteng yang dipecat, menyebabkan kedudukan Truss dalam keadaan tidak menentu/ AFP)

Canselor perbendaharaan itu berkata tiada kerajaan boleh mengawal pasaran, tetapi menegaskan tindakannya akan memberi kepastian terhadap kewangan awam dan membantu menjamin pertumbuhan.

"Perdana Menteri dan saya bersetuju semalam untuk membatalkan hampir semua langkah cukai yang diumumkan dalam pelan pertumbuhan tiga minggu lalu," kata Hunt kepada parlimen, diapit oleh Truss yang berwajah muram.

Beliau juga mengumumkan pembentukan majlis penasihat ekonomi, yang menampilkan empat pakar di luar kerajaan.

Truss memberitahu BBC bahawa beliau masih percaya pada 'pertumbuhan tinggi, ekonomi cukai rendah' tetapi kestabilan ekonomi itu adalah keutamaan beliau sebagai Perdana Menteri. -AFP

Media Baharu