fb fb fb fb fb

Enam maut pesawat pejuang Rusia terhempas, langgar pangsapuri

(FOTO REUTERS)

YEYSK, 18 Oktober- Sekurang-kurang enam orang maut, manakala 19 lagi cedera selepas pesawat pejuang tentera Rusia terhempas mengenai sebuah bangunan pangsapuri, lapor agensi berita Tass.

Dalam kejadian itu, enam orang dilaporkan hilang, menurut agensi berita yang memetik pegawai tempatan.

Yeysk dipisahkan dari wilayah Rusia yang diduduki di selatan Ukraine oleh Selat Laut Azov.

Saluran berita tentera Zvezda menyiarkan video menunjukkan letupan pesawat pejuang pengebom jarak sederhana supersonik Sukhoi Su-34 ketika ia menjunam ke arah pangsapuri.

Sementara itu, agensi Rusia memaklumkan juruterbang pesawat berkenaan sudah dikeluarkan.

Agensi tempatan yang memetik Menteri Kecemasan Persekutuan, Alexander Kurenkov memaklumkan, enam orang terkorban, manakala enam lagi hilang seperti dilaporkan Tass.

Katanya, Presiden Rusia, Vladimir Putin segera mengarahkan beliau bergegas ke lokasi nahas selepas mendapat maklumat mengenai insiden itu.

Rakaman visual dari lokasi menunjukkan sebahagian besar pangsapuri sembilan tingkat itu terbakar disebabkan nahas terbabit dan pihak berkuasa tempatan kemudiannya memaklumkan kebakaran sudah dipadamkan.

Gabenor Wilayah Krasnodar, Veniamin Kondratyev menafikan laporan tempatan yang mendakwa pesawat itu membawa muatan berisi peluru.

"Jika ia berlaku, hanya separuh bangunan mungkin berada di sini," katanya kepada pemberita lapor RIA.

Kira-kira 250 penghuni dipindahkan termasuk 40 kanak-kanak, kata pihak berkuasa.


(Laporan awal mendapati sebuah pesawat Sukhoi Su-34 terhempas mengenai sebuah pangsapuri
di Yeysk selepas berlaku kebakaran pada salah satu daripada enjinnya / REUTERS)

Dalam pada itu, RIA memaklumkan nahas berlaku ketika pesawat dalam penerbangan latihan dari lapangan terbang tentera.

Memetik kenyataan Kementerian Pertahanan, juruterbang terlebih dulu memaklumkan mengenai enjin pesawat terbakar ketika beliau memulakan penerbangan dan mencetuskan kebakaran apabila merempuh bangunan kediaman itu.

Jawatankuasa Penyiasat Rusia yang menangani jenayah serius berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan dan menghantar pasukan ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Kremlin memaklumkan Putin sudah dimaklumkan mengenai nahas itu dan beliau sudah mengarahkan segala bantuan diberikan kepada mangsa. - REUTERS

Media Baharu