fb fb fb fb fb

Rahul Gandhi kehilangan kerusi Parlimen

(Gandhi melambai ke arah penyokong di lapangan terbang New Delhi/REUTERS)

NEW DELHI, 24 Mac- Tokoh pembangkang utama India, Rahul Gandhi diumumkan kehilangan kerusi Parlimen, sehari selepas didapati bersalah memfitnah dalam kenyataan kempen yang dibuat pada 2019 membayangkan Perdana Menteri, Narendra Modi sebagai seorang penjenayah.

Semalam, Gandhi dijatuhi hukuman penjara dua tahun tetapi dibebaskan dengan jaminan selepas peguamnya berikrar untuk membuat rayuan.

Sabitan itu bagaimanapun bermakna beliau kehilangan kelayakan menyandang kerusi Lok Sabha, atau dewan rendah parlimen India, kata notis setiausaha bersama dewan itu.

"Saya terkejut dengan tindakan ini dan dengan kepantasannya," kata Shashi Tharoor, seorang ahli parlimen dan bekas menteri luar dari parti Gandhi.

"Ini adalah permusuhan politik terbuka dan ia petanda buruk bagi demokrasi kita."

Gandhi, 52, adalah wajah utama parti Kongres, yang pernah menjadi kuasa dominan politik India, dengan peranan yang membanggakan dalam menamatkan pemerintahan kolonial British.

Beliau berasal daripada keturunan dinasti politik paling terkenal di India, dibarisi anak, cucu dan cicit bekas perdana menteri, bermula dengan pemimpin kemerdekaan Jawaharlal Nehru. -AFP

(Penyokong parti Kongres memegang sepanduk semasa protes senyap di Mumbai terhadap
sabitan Rahul Gandhi/REUTERS)

 

Media Baharu