(Gunung Ili Lewotolok memuntahkan abu ke udara di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada 24 Mac 2023/
AFP & PVMBG )
LEMBATA, 24 Mac- Gunung Ili Lewotolok di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia meletus hari ini, mengeluarkan asap dan abu setinggi hampir satu kilometer ke udara.
Setakat ini, pihak berkuasa tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kerosakan, namun zon larangan dua kilometer di sekitar kawah dikuatkuasakan di wilayah berkenaan untuk keselamatan orang ramai.
Sementara itu, Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG) menasihatkan penduduk agar memakai topeng separuh muka bagi mengelakkan masalah penafasan susulan asap dan abu setinggi 700 meter yang dikeluarkan Ili Lewotolok sekitar pukul 5.00 petang waktu tempatan.
Ketua Badan Geologi Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral (ESDM), Sugeng Mujiyanto dalam satu kenyataan pula meminta penduduk berwaspada terhadap risiko aliran lahar dan awan panas.
Gunung Ili Lewotolok kini diletakkan pada tahap ketiga tertinggi.
Letusan besar terakhir gunung berapi itu berlaku pada akhir 2020, mencetuskan amaran penerbangan dan penutupan lapangan terbang tempatan, manakala ribuan orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Indonesia memiliki sekitar 130 gunung berapi aktif kerana kedudukannya di Lingkaran Api plat tektonik yang mengelilingi Lautan Pasifik di mana aktiviti seismik sering berlaku.
Pada akhir 2018, gunung berapi di selat antara pulau Jawa dan Sumatera meletus, menyebabkan tanah runtuh di bawah laut hingga mengakibatkan tsunami yang mengorbankan lebih dari 400 orang. -AFP
(FOTO TWITTER @PVMBG_)