SYDNEY, 18 Ogos - Mahkamah Persekutuan Australia mengarahkan Qantas Airways membayar penalti berjumlah A$90 juta juta kerana membuang 1,820 pekerja darat secara haram ketika pandemik COVID-19.
Hakim Michael Lee menyifatkan tindakan syarikat penerbangan terbesar Australia itu sebagai salah laku serius dalam sejarah undang-undang buruh negara tersebut.
Beliau turut menegur strategi perundangan dan sikap syarikat yang tidak menunjukkan penyesalan sebenar.
“Saya menerima Qantas memohon maaf, tetapi saya tidak yakin penyesalan itu adalah untuk kesalahan terhadap pekerja, sebaliknya lebih kepada kerosakan reputasi syarikat,” katanya.
Menurut keputusan itu, A$50 juta daripada jumlah penalti akan dibayar kepada Kesatuan Pekerja Pengangkutan (Transport Workers’ Union, TWU) yang membawa kes berkenaan ke mahkamah.
Setiausaha Agung TWU, Michael Kaine berkata, keputusan itu membuktikan perjuangan pekerja berakhir dengan kemenangan.
“Menentang segala halangan, kami berdepan sebuah syarikat gergasi yang kejam dan kami menang,” ujarnya.
Qantas dalam kenyataan memohon maaf kepada semua pekerja terbabit dan keluarga mereka, serta memaklumkan akan membayar denda seperti diarahkan.
“Kami memohon maaf secara tulus kepada setiap seorang daripada 1,820 pekerja darat yang dipecat dan kepada keluarga mereka,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Vanessa Hudson.
Kes itu menyusul selepas persetujuan dicapai pada Disember lalu apabila Qantas bersetuju membayar pampasan A$120 juta kepada pekerja yang dipecat.
Saham Qantas dilaporkan susut 0.4 peratus kepada A$11.58 dalam dagangan awal hari ini. -REUTERS