PYONGYANG, 11 Ogos - Korea Utara memberi amaran akan melaksanakan tindakan balas tegas sekiranya berlaku provokasi daripada latihan ketenteraan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.
Amaran itu disampaikan Menteri Pertahanan, No Kwang Chol, yang menegaskan angkatan tentera negara itu akan bertindak secara menyeluruh dan tegas atas dasar hak mempertahankan diri. Kenyataan beliau disiarkan agensi berita rasmi, Korean Central News Agency, semalam.
Latihan bersama tahunan yang dikenali sebagai Ulchi Freedom Shield itu akan diadakan dari 18 hingga 28 Ogos bagi mengekang ancaman Korea Utara yang memiliki senjata nuklear.
Washington menempatkan kira-kira 28,500 anggota tentera di Korea Selatan dan latihan bersama itu digambarkan sebagai langkah pertahanan.
Korea Utara yang melancarkan serangan ke atas jirannya pada 1950 hingga mencetuskan Perang Korea, sering mengecam latihan ketenteraan AS-Korea Selatan sebagai persiapan untuk pencerobohan.
Ketegangan di Semenanjung Korea bagaimanapun menunjukkan tanda-tanda pemulihan hubungan baru-baru ini, apabila kedua-dua pihak bertindak membuang pembesar suara propaganda di sepanjang sempadan.
Tentera Korea Selatan memaklumkan, anggota tentera Korea Utara mula menanggalkan pembesar suara yang digunakan untuk menyiarkan bunyi-bunyi mengganggu di kawasan sempadan, beberapa hari selepas pentadbiran baharu Seoul melakukan perkara sama terhadap pembesar suara yang digunakan bagi menyiarkan propaganda.
Siaran propaganda di Zon Bebas Tentera telah dihentikan sejak Jun lalu selepas Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, mengambil alih pentadbiran dan berusaha mengurangkan ketegangan dengan Pyongyang.
Hubungan dua negara itu berada di tahap terendah dalam beberapa tahun di bawah kepimpinan bekas presiden Yoon Suk Yeol yang mengambil pendekatan keras terhadap Pyongyang, yang semakin mengeratkan hubungan dengan Moscow selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Sejak dipilih, Lee mengambil pendekatan berbeza termasuk meminta kumpulan masyarakat sivil menghentikan penghantaran risalah propaganda ke Korea Utara menggunakan belon.-AFP