TEHRAN,11 Ogos - Iran akan mengutus Ketua Badan Keselamatan Tertinggi, Ali Larijani yang baharu dilantik ke Lubnan bagi membincangkan keputusan Beirut untuk melucutkan senjata kumpulan pejuang Hizbullah.
Permintaan tersebut telah dibantah Tehran kerana disifatkan terlalu menurut telunjuk Israel dan Amerika Syarikat.
Beirut bagaimanapun mendakwa hubungan erat Iran dengan kumpulan pejuang Hizbullah tersebut sebagai 'campur tangan terang-terangan dan tidak boleh diterima' terhadap Lubnan.
Menurut Larijani, Tehran mengutamakan perpaduan di Beirut dan menyokong penuh perkara tersebut perlu dipelihara dalam semua keadaan.
"Kerjasama kami dengan kerajaan Lubnan adalah panjang dan mendalam. Kami berunding mengenai pelbagai isu serantau dan dalam konteks khusus ini, kami bercakap dengan pegawai dan tokoh berpengaruh di negara tersebut,'' katanya.
Desakan melucutkan senjata kumpulan pejuang Hizbullah timbul selepas tercetusnya perang dengan Israel tahun lalu yang juga menyebabkan kumpulan itu mulai melemah.
Lubnan turut bimbang Israel akan meluaskan konflik dan meningkatkan serangan sekiranya kumpulan pejuang tersebut kekal bersenjata.
Sebelum ke Beirut, Larijani akan mengunjungi Iraq bagi menandatangani perjanjian keselamatan dua hala.-AFP