TOKYO, 11 Ogos - Jutaan penduduk di barat daya Jepun diarahkan berpindah susulan hujan lebat luar biasa yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh, mengakibatkan beberapa penduduk hilang.
Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun memaklumkan, lebih tiga juta penduduk menerima amaran dan nasihat pemindahan, dengan kira-kira 384,000 orang kebanyakannya di wilayah Kumamoto berada di bawah tahap amaran tertinggi.
Agensi Meteorologi Jepun berkata, bandar Tamana di Kumamoto mencatat hujan lebih 37 sentimeter dalam tempoh enam jam, rekod baharu yang disifatkan sebagai mengancam nyawa.
Rakaman televisyen menunjukkan rumah, kedai dan kenderaan tenggelam sehingga satu meter, manakala sungai melimpah menghanyutkan kenderaan dan memusnahkan jalan.
Sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan hilang, termasuk seorang lelaki di bandar Kosa selepas tanah runtuh berlaku berhampiran rumahnya, dua penduduk di Fukuoka yang dihanyutkan arus sungai, dan seorang lelaki warga emas di Misato yang terperangkap dalam rumah akibat tanah runtuh.-AFP