fb fb fb fb fb

Lebih 1,000 dipindah akibat kebakaran hutan di Sepanyol

Foto- AFP

MADRID, 11 Ogos - Lebih 1,000 penduduk dipindahkan di barat laut Sepanyol susulan kebakaran hutan yang marak akibat suhu panas melampau dan tiupan angin kencang.

Kira-kira 400 orang dipindahkan dari kawasan sekitar bandar Carucedo, manakala 700 lagi dari beberapa penempatan berhampiran Tapak Warisan Dunia UNESCO Las Medulas, bekas kawasan perlombongan emas era Rom yang terkenal dengan landskap merahnya.

Presiden wilayah Castile dan Leon, Alfonso Manueco, berkata pihak berkuasa mengesyaki beberapa kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat.
“Kami akan bertindak tegas terhadap pihak yang melakukan serangan terhadap nyawa, keselamatan penduduk serta warisan sejarah dan alam semula jadi kami,” katanya di platform X.

Pasukan Unit Kecemasan Tentera (UME) Sepanyol menghantar hampir 60 anggota dan 20 kenderaan bagi menyertai operasi memadam kebakaran yang turut melibatkan pesawat serta jentolak untuk membina laluan penghalang api.

Jurucakap bomba berkata keadaan panas terik, kelembapan udara rendah dan angin kencang yang sering berubah arah menyukarkan usaha kawalan api.

Kebakaran hutan turut dilaporkan di wilayah utara Galicia dan Navarre ketika Sepanyol berdepan gelombang haba yang memasuki minggu kedua, dengan suhu mencecah hampir 40 darjah Celsius di banyak kawasan.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, berkata beliau sedang memantau perkembangan kebakaran itu dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan kecemasan “atas usaha tanpa mengenal penat lelah”.

Gelombang haba dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga Khamis, manakala pihak berkuasa perlindungan awam memberi amaran risiko kebakaran hutan berada pada tahap tinggi hingga ekstrem di kebanyakan wilayah.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN