fb fb fb fb fb

Kapal Tentera Laut dan Pengawal Pantai China berlanggar ketika kejar bot Filipina

MANILA, 11 Ogos - Sebuah kapal tentera laut China berlanggar dengan kapal pengawal pantai negara itu sendiri ketika mengejar kapal peronda Filipina berhampiran Terumbu Scarborough di Laut China Selatan semalam, menurut pihak berkuasa Filipina yang turut menyiarkan rakaman video insiden berkenaan.

Jurucakap pengawal pantai Filipina, Komodor Jay Tarriela, berkata perlanggaran berlaku ketika kapal pengawal pantai China, CCG 3104, mengejar kapal BRP Suluan pada kelajuan tinggi dan melakukan manuver berbahaya di sebelah kanan kapal Filipina.

“Perlanggaran itu menyebabkan kerosakan besar pada bahagian hadapan kapal CCG, sehingga tidak selamat lagi beroperasi di laut,” katanya dalam satu kenyataan.

Rakaman yang disiarkan menunjukkan kapal pengawal pantai China dan sebuah kapal lebih besar bernombor 164 di badannya berlanggar dengan dentuman kuat.

Jurucakap pengawal pantai China, Gan Yu, mengesahkan konfrontasi berlaku namun tidak menyebut mengenai perlanggaran tersebut. “Pengawal pantai China mengambil langkah perlu mengikut undang-undang, termasuk memantau, menekan dari luar, menghalang dan mengawal kapal Filipina bagi mengusirnya,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Tarriela turut memaklumkan bahawa kru kapal China “tidak pernah memberi respons” terhadap tawaran bantuan daripada kapal Filipina selepas insiden.

Beliau berkata, sebelum perlanggaran berlaku, BRP Suluan telah menjadi sasaran meriam air oleh kapal China tetapi “berjaya mengelaknya”.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, menegaskan bahawa kapal peronda negara itu akan terus berada di kawasan terbabit bagi mempertahankan dan melaksanakan hak kedaulatan Manila. “Kami akan terus hadir di kawasan ini untuk mempertahankan hak kedaulatan kami,” katanya pada sidang media pagi.

Perlanggaran itu adalah insiden terbaharu dalam siri konfrontasi antara China dengan Filipina di Laut China Selatan, yang hampir keseluruhannya dituntut Beijing walaupun mahkamah antarabangsa memutuskan tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Lebih 60 peratus perdagangan maritim global melalui perairan tersebut yang turut menjadi titik panas pertikaian sejak China merampas Terumbu Scarborough daripada Filipina pada 2012.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN