fb fb fb fb fb

Puting beliung kuat melanda tengah AS, tiga maut

FOTO AFP

WASHINGTON, 16 Mac- Ribut dahsyat melanda tengah Amerika Syarikat (AS) hingga menimbulkan puting beliung besar dan meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa dalam kejadian pada malam Khamis lalu.

Tiga negeri dilaporkan terjejas dengan bencana tersebut iaitu Kentucky, Indiana dan Ohio.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memaklumkan, lebih 13 juta orang di kawasan berkenaan diletakkan di bawah pengawasan bencana.

Lapor NWS, puting beliung berkenaan berukuran selebar kira-kira setengah batu di Ohio yang disifatkan sangat berbahaya.

Kira-kira 5,000 rumah terputus bekalan elektrik di negeri tersebut.

Sementara itu, tiga kematian dilapor berlaku di Indiana dengan sekurang-kurangnya 38 orang cedera termasuk tiga kritikal, manakala 22 bangunan musnah.

Di Kentucky pula, Gabenor Andy Beshear berkata, bahawa puting beliung bergerak melalui bandar Gallatin dan Trimble di negerinya, namun tidak menyebabkan kematian. -AFP

1603 BD USA PUTING BELIUNG
Kemusnahan akibat puting beliung di Winchester, Indiana/AFP

SITI AISHAH MD ISA