GAZA, 16 Mac - Sebuah kapal yang membawa 200 tan bantuan untuk Gaza menggunakan koridor maritim baharu dari Cyprus, mula memunggah kargonya, semalam.
Kapal Open Arms, yang berlayar dari Cyprus pada Selasa lalu, menunda tongkang berisi 200 tan makanan untuk penduduk Gaza yang berdepan dengan kebuluran selepas peperangan lebih lima bulan.
Jurucakap badan amal Amerika Syarikat (AS) yang bekerja dengan Open Arms, Linda Roth berkata, World Central Kitchen (WCK) sedang memunggah tongkang yang disambungkan ke jeti.
"Kapal itu mengandungi 130 palet peralatan kemanusiaan, 115 tan makanan dan air, yang dipindahkan ke 12 trak WCK, dan akan diagihkan ke utara Semenanjung Gaza," katanya.
Israel berkata ia mengerahkan tentera untuk mengamankan kawasan di sekitar jeti. Kapal itu menjalani pemeriksaan keselamatan yang komprehensif.
"Penting untuk saya tekankan bahawa penghantaran bantuan kemanusiaan tidak melanggar sekatan keselamatan maritim," katanya.
Dengan trak bantuan yang tidak mencukupi di sepanjang jalan raya, usaha bantuan kemanusiaan ke Gaza digandakan melalui udara dan laut.
Cyprus merupakan negara anggota Kesatuan Eropah yang terdekat dengan Gaza.
Kapal kedua terbesar untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza sedang bersedia menggunakan koridor maritim baharu dalam menyelesaikan misinya - AFP.