fb fb fb fb fb

Lantang kritik negara barat, Anwar raih sokongan seluruh dunia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sidang Media bersama rakan sejawat, Canselor Olaf Scholz pada 12 Mac lalu, Malaysia - Jerman bersetuju menggesa agar gencatan senjata kekal dilaksanakan di Gaza selain pembebasan tawanan manakala bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan/Foto Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 16 Mac - Video Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pejuang Hamas dalam sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz meraih lebih 3,028 komen warganet serta 504,000 tontonan dari seluruh dunia.

Rata-rata warganet menyuarakan sokongan terhadap keberanian Anwar Ibrahim yang lantang mengkritik negara-negara Barat kerana berpendirian lemah terhadap kekejaman berterusan Israel.

"Saya sangat berbangga dengan Perdana Menteri Malaysia," kata pengguna @drzainab.dermatology.

"Malaysia merupakan sebuah negara yang masih lagi waras. Syabas Malaysia!," kata @aabdsyukur.

"Dengan penuh keberanian, rasa cinta dan dokongan dari Malaysia," kata pengacara tempatan Dayah Bakar.

"Saya bukan rakyat Malaysia, tetapi begitu bangga dengan negara jiran," kata @nita_heriyadi dari Indonesia.

"PM kita telah mencuba yang terbaik. Tetapi ianya tidak boleh mengubah apa-apa jika pemimpin Arab berdiam. Semua umat Islam perlu bersatu untuk menghentikan kekejaman ini," kata @farncoboy.

Dalam video itu, Anwar turut membidas sikap 'selektif' dan 'ambivalen' negara barat yang seolah-olah menjadi munafik dengan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di bumi Gaza.

Anwar menegaskan bahawa konflik di Gaza bukan disebabkan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu, tetapi hasil penindasan yang berterusan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

"Apa yang saya tolak dengan keras ialah naratif ini, obsesi ini, macamlah semua masalah bermula dan berakhir pada 7 Oktober. Ia tidak bermula dengan 7 Oktober dan tidak berakhir dengan 7 Oktober. Ia bermula empat dekad sebelum itu, dan ia berterusan setiap hari," kata Anwar melalui video yang dimuat naik oleh TRT World di Instagram.

Dalam pada itu, Anwar turut meraih sokongan individu berpengaruh dalam pelbagai bidang sebaik sahaja video itu tular di media sosial tempatan dan antarabangsa.

Wartawan warga British-Amerika yang terkenal Mehdi Hasan berkata Anwar kini mewakili suara majoriti rakyat dunia yang mempertahankan hak warga Palestin.

Penyanyi dan penulis lagu terkenal Sweden berketurunan Lubnan Maher Zain, @MaherZain, mengucapkan penghargaan kepada Anwar menerusi ciapan di Twitter, "Terima kasih Perdana Menteri @anwaribrahim" atas keberaniannya.

Dalam lawatan rasminya ke Jerman pada 10 Mac lalu,  Malaysia-Jerman bersetuju menggesa agar gencatan senjata kekal dilaksanakan di Gaza selain pembebasan tawanan manakala bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan.

Kedua-dua negara juga bersetuju bahawa perlu ada titik noktah terhadap konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN