fb fb fb fb fb

Putin tidak serius mahu damai di Ukraine- Starmer

FOTO AFP

LONDON, 15 Mac- Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin, tidak bersungguh-sungguh dalam menyokong usaha yang diterajui Amerika Syarikat untuk mencapai gencatan senjata di Ukraine.

Kenyataan itu dibuat selepas Putin menyuarakan "persoalan serius" berhubung cadangan gencatan senjata 30 hari yang dikemukakan oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.

"Kita tidak boleh membiarkan Presiden Putin mempermainkan perjanjian Presiden Trump," kata Starmer dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya di Downing Street.

"Penolakan terang-terangan Kremlin terhadap cadangan gencatan senjata ini hanya membuktikan bahawa Putin tidak serius tentang keamanan."

Tambahnya, Putin dilihat cuba melengahkan proses gencatan senjata itu.

Starmer dijangka mengadakan perbincangan bersama pemimpin-pemimpin Eropah dan NATO dalam sidang kemuncak maya pada pagi Sabtu, bertujuan mengukuhkan sokongan kepada Ukraine.

Sejak Trump memulakan rundingan terus dengan Moscow bulan lalu, Starmer dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, giat membina apa yang mereka gelar "koalisi sukarela" bagi memastikan keselamatan Ukraine dan menghalang Putin daripada melanggar sebarang perjanjian gencatan senjata.

Kedua-dua pemimpin itu turut menyatakan kesediaan untuk menghantar tentera Britain dan Perancis ke Ukraine sebagai langkah pencegahan, walaupun masih belum jelas sama ada negara lain akan mengambil pendekatan serupa.

Sementara itu, Turkiye memberi bayangan untuk turut serta dalam misi pengaman, manakala Perdana Menteri Ireland, Micheal Martin, menegaskan bahawa tentera Ireland tidak akan menyertai sebarang pasukan penghalang.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE