fb fb fb fb fb

Guatemala serah ketua sindiket penyeludupan manusia kepada AS

Rigoberto Miranda, 47, diiring polis selepas menghadiri perbicaraan di mahkamah di Guatemala City pada 5 September 2024 / AFP

GUATEMALA CITY, 15 Mac- Guatemala pada Jumaat telah mengekstradisi seorang individu yang didakwa sebagai ketua sindiket penyeludupan manusia dan dikehendaki oleh Amerika Syarikat berhubung kematian 53 migran dalam sebuah trak yang sesak dan panas pada tahun 2022.

Rigoberto Miranda, seorang warga Guatemala berusia 48 tahun yang ditahan tahun lalu berhampiran sempadan negara Amerika Tengah itu dengan Mexico, didakwa mengetuai kumpulan "Los Orozcos."

Dia telah diterbangkan dari Guatemala City ke Amerika Syarikat, menurut Pengarah Sistem Penjara Guatemala, Sergio Vela.

Kedutaan Amerika Syarikat di Guatemala dalam kenyataan di media sosial memaklumkan, Miranda akan dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan penyeludupan manusia.

Sebelum ini, Amerika Syarikat telah menahan beberapa individu lain yang didakwa terlibat dalam tragedi di Texas itu.

Menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat, sistem penghawa dingin dalam treler tersebut tidak berfungsi dengan baik, menyebabkan suhu meningkat ketika trak berkenaan bergerak ke utara.

Seramai 48 orang didapati maut ketika treler tiba di San Antonio, manakala lima lagi meninggal dunia di hospital.

Miranda-Orozco didakwa atas tuduhan bersubahat membawa pendatang tanpa izin ke Amerika Syarikat sehingga menyebabkan kematian serta beberapa pertuduhan lain, dan berdepan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, sindiket penyeludupan itu mengenakan bayaran antara AS$12,000 hingga AS$15,000 bagi setiap individu untuk membawa migran, yang kebanyakannya berasal dari Mexico, Guatemala dan Honduras, memasuki Amerika Syarikat.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE