fb fb fb fb fb

Putin puji kesediaan China bantu selesaikan konflik Ukraine

(Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping/File AFP)

MOSCOW, 20 Mac- Presiden Vladimir Putin mengalu-alukan kesediaan China untuk memainkan peranan membina dalam menamatkan konflik di Ukraine dan menyatakan bahawa hubungan China-Rusia berada di tahap tertinggi.

Kenyataan itu dibuat ketika rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping dalam perjalanan ke Rusia dengan harapan untuk mencadangkan jalan penyelesaian kepada perang di Ukraine.

"Kualiti hubungan antara Moscow dengan Beijing adalah lebih tinggi daripada kesatuan politik dan tentera era Perang Dingin", kata Putin dalam artikel yang ditulis dalam sebuah akhbar China dan diterbitkan oleh Kremlin pada malam sebelum lawatan Xi.

Putin berkata beliau meletakkan harapan tinggi kepada perbincangannya dengan pemimpin China itu.

"Kami tidak ragu-ragu bahawa mereka akan memberikan dorongan kuat baharu kepada keseluruhan kerjasama dua hala," tambahnya.

Putin memuji "kesediaan China untuk memainkan peranan yang membina dalam menyelesaikan" konflik selama setahun di Ukraine.

Katanya beliau berterima kasih kepada Beijing kerana pendiriannya yang "seimbang" terhadap peristiwa di Ukraine dan pemahamannya tentang latar belakang konflik dan "sebab sebenar" di sebaliknya.

"Rusia terbuka kepada penyelesaian krisis Ukraine dengan cara diplomatik politik," Putin memberi jaminan dalam artikel itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Kiev mengiktiraf "realiti geopolitik baharu", iaitu pengilhakan Rusia pada tahun lepas terhadap empat wilayah Ukraine, serta Crimea pada 2014.

"Malangnya, kata dua yang diberi kepada Rusia menunjukkan bahawa (pengarang mereka) jauh dari realiti ini dan tidak berminat untuk mencari penyelesaian," tambahnya.

Mengumumkan perjalanan itu pada hari Jumaat, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin berkata Beijing akan "memainkan peranan yang membina dalam mempromosikan rundingan damai".

Baru dilantik semula untuk penggal ketiga memegang kuasa, Xi sedang mendorong peranan yang lebih besar untuk China di pentas global. -AFP

(Putin mengalu-alukan kesediaan China untuk memainkan peranan membina dalam menamatkan
konflik di Ukraine/AFP)

Media Baharu