SAMARA, 6 September – Presiden Rusia, Vladimir Putin menggesa industri aeroangkasa negara itu memperhebat pembangunan enjin roket penggalak bagi kenderaan pelancar angkasa, dalam usaha mengekalkan reputasi Rusia sebagai peneraju teknologi angkasa.
Dalam lawatan ke biro reka bentuk Kuznetsov di Samara, Putin menegaskan kepentingan memperbaharui kapasiti pengeluaran enjin, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan domestik, tetapi juga untuk bersaing di pasaran global.
Beliau turut menekankan kejayaan Rusia menghasilkan enjin inovatif dalam sektor tenaga walaupun berdepan sekatan Barat susulan pencerobohan Ukraine pada 2022.
Menurutnya, enjin tersebut kini digunakan secara meluas dalam infrastruktur pengangkutan gas.
Putin menyifatkan pembangunan eksport gas sebagai agenda utama, termasuk projek saluran paip Power of Siberia 2 yang bakal menghubungkan Rusia dan China.
Beliau memuji projek itu sebagai bermanfaat kepada kedua-dua negara, terutama ketika Moscow beralih kepada Beijing bagi menggantikan pasaran Eropah.
Selain itu, beliau mengumumkan pembangunan enjin pesawat PD-26 yang akan membuka laluan kepada pemodenan pesawat pengangkut tentera serta pembinaan pesawat awam berbadan lebar generasi baharu. -REUTERS