fb fb fb fb fb

Mesir tolak dakwaan perpindahan rakyat Palestin secara sukarela

Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty / Foto Reuters

KAHERAH, 6 September – Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty menyifatkan dakwaan perpindahan rakyat Palestin dari Gaza berlaku secara sukarela sebagai “karut”.

Beliau menegaskan, kebuluran buatan manusia di Gaza jelas bertujuan memaksa penduduk meninggalkan tanah mereka, bukannya pilihan bebas.

Abdelatty berkata demikian dalam sidang media bersama Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyokong idea rakyat Palestin boleh berpindah secara sukarela dan menggesa negara lain menerima mereka.

Pejabatnya menegaskan ia selaras dengan hak asasi untuk memilih tempat tinggal ketika perang.

Abdelatty turut memaklumkan perbincangan dengan utusan khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff mengenai usaha memperkukuh cadangan gencatan senjata.

Beliau bagaimanapun menuding Israel sebagai punca kelewatan mencapai persetujuan.

Pada Ogos lalu, Hamas menerima cadangan gencatan senjata 60 hari yang melibatkan pembebasan tebusan dan tahanan Palestin.

Mesir berkata cadangan itu turut merangka kerangka perjanjian komprehensif bagi menamatkan konflik hampir dua tahun.

Namun, Netanyahu menegaskan Israel hanya akan meneruskan rundingan pembebasan tebusan dan penamatan perang berdasarkan syarat yang boleh diterimanya. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN