fb fb fb fb fb

China salur bantuan kecemasan pascagempa kepada Afghanistan

Foto Reuters

KABUL, 6 September – China menyalurkan bantuan kemanusiaan kecemasan kepada Afghanistan susulan gempa bumi bermagnitud 6.0 yang meragut lebih 2,200 nyawa dan mencederakan 3,640 orang di Wilayah Nangarhar, Ahad lalu.

Pemangku Kuasa Usaha Sama Kedutaan China di Afghanistan, Bao Xuhui menyerahkan sumbangan tunai berjumlah AS$200,000 daripada Persatuan Palang Merah China kepada Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan (ARCS), Sheikh Shahabudin Dilawer, pada Jumaat.

Bao turut memaklumkan kerajaan China akan menyalurkan bantuan kemanusiaan bernilai 50 juta yuan (kira-kira AS$7.04 juta), selain sumbangan tambahan daripada kedutaan, syarikat-syarikat China dan Persatuan Cina Seberang Laut di Afghanistan.

Dilawer menyifatkan bantuan tersebut sebagai bukti persahabatan sejati dan berjanji semua dana akan digunakan sepenuhnya bagi operasi menyelamat serta pembinaan semula.

“China ialah jiran penting yang sentiasa menyokong rakyat Afghanistan tanpa niat buruk. Kami berharap hubungan mesra ini dapat terus diperkukuh,” katanya. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN