fb fb fb fb fb

Anutin ikrar kembalikan Thailand sebagai ‘Land of Smiles’

Anutin Charnvirakul / Foto Fail

BANGKOK, 6 September – Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin Charnvirakul berikrar untuk mengembalikan imej negara itu sebagai “Land of Smiles” selepas dipilih melalui undian parlimen, sekali gus menjadi Perdana Menteri ketiga dalam tempoh dua tahun.

Dalam ucapan sulungnya, Anutin berterima kasih kepada Ahli Parlimen dan rakyat Thailand atas sokongan, sambil menegaskan undang-undang akan “dikuatkuasakan secara tegas” tanpa sebarang unsur balas dendam, termasuk terhadap bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang kini berada di Dubai.

Thailand kini berdepan cabaran ekonomi yang merosot, ketegangan dengan Kemboja selepas perang sempadan berdarah, serta risiko ketidakstabilan politik.

Penganalisis menjangka keupayaan Anutin menguruskan krisis tersebut bakal menjadi ujian terbesar beliau.

Krisis politik semakin meruncing selepas Anutin menarik diri daripada pakatan Pheu Thai pada Jun lalu, menyebabkan kerajaan terdahulu hanya bertahan dengan majoriti tipis.

Situasi bertambah parah apabila mahkamah menyingkirkan Paetongtarn Shinawatra minggu lalu, menjadikannya Perdana Menteri keenam daripada keluarga itu yang digulingkan oleh tentera atau badan kehakiman. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN