fb fb fb fb fb

Putin cadang rundingan langsung dengan Ukraine di Istanbul, 15 Mei

Presiden Rusia Vladimir Putin/Reuters

MOSCOW, 11 Mei - Presiden Rusia Vladimir Putin mencadangkan agar rundingan langsung dengan Ukraine diadakan di Istanbul pada 15 Mei ini.

Kenyataanya itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas Kiev dan pemimpin Eropah menyeru agar gencatan senjata tanpa syarat selama 30 hari dimulakan pada Isnin.

"Kami mencadangkan kepada pihak berkuasa Kiev agar menyambung semula rundingan yang mereka hentikan pada tahun 2022 dan saya tekankan, tanpa sebarang prasyarat. Kami mencadangkan agar rundingan dimulakan tanpa berlengah pada hari Khamis, 15 Mei di Istanbul,” kata Putin.

Pemimpin Ukraine Britain, Perancis, Jerman dan Poland dalam pertemuan di Kiev pada Sabtu, memberi amaran kepada Moscow dengan ancaman sekatan baharu serta sokongan ketenteraan tambahan kepada Ukraine sekiranya Rusia tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Rundingan secara langsung antara perunding Rusia dan Ukraine pernah diadakan di Istanbul pada awal minggu konflik berlaku, bagaimanapun persetujuan gagal dicapai bagi menghentikan pertempuran yang berlarutan sehingga kini.

Putin menyatakan bahawa beliau “komited terhadap rundingan serius dengan Ukraine” dan mahu rundingan itu “menghapuskan punca utama konflik serta membina keamanan yang berkekalan.”

Rujukan Rusia terhadap “punca utama” konflik biasanya merujuk kepada dakwaan rasa tidak puas hati terhadap Kiev dan Barat, yang sering digunakan oleh Moscow sebagai justifikasi melancarkan serangan pada Februari 2022.

Antara justifikasi itu termasuk janji untuk “menghapuskan fahaman Nazi” di Ukraine, melindungi penutur bahasa Rusia di timur Ukraine, menentang peluasan NATO dan menghentikan kecenderungan Ukraine ke arah Barat daripada segi geopolitik.

Kiev dan Barat menolak kesemua justifikasi tersebut, dan menyifatkan serangan Rusia itu tidak lebih daripada satu percubaan rampasan wilayah secara imperialis.

Sejak Rusia melancarkan ofensifnya, puluhan ribu nyawa terkorban, manakala jutaan lagi telah dipaksa meninggalkan kediaman.

“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa dalam rundingan ini, kami boleh mencapai persetujuan mengenai satu gencatan senjata baharu,” kata Putin. - AFP

TETITIA YUSOFF