fb fb fb fb fb

Acara Hari Ibu dibatalkan, keluarga terpisah anjur demonstrasi serentak

Foto AFP

MEXICO, 11 Mei - Berang acara tahunan pertemuan Hari Ibu terpaksa dibatalkan, ahli keluarga yang terpisah akibat dasar anti-migran Amerika Syarikat, telah menganjurkan demonstrasi secara serentak di kedua-dua belah sempadan AS-Mexico pada Sabtu.

Pembatalan acara yang dijadualkan berlangsung sehari sebelum sambutan Hari Ibu itu berpunca daripada penubuhan zon kawalan khas tentera Amerika Syarikat di sempadan selatan Texas minggu lalu.

Zon tersebut memberi kuasa kepada anggota tentera untuk menahan individu yang melintasi sempadan secara haram.

Sejak 2016, acara "Hugs, Not Walls" menjadi ruang pertemuan sementara bagi pendatang tanpa dokumen dari AS dan ahli keluarga mereka dari Mexico. Namun, tahun ini, ia dibatalkan.

“Kami telah menganjurkan acara ini sejak 2016 tanpa sebarang masalah. Kini, kami dilarang menggunakan kawasan sempadan ini,” kata Irma Cruz daripada Border Network kepada AFP. 

Matilde Rosales, yang tidak pernah bertemu adiknya Isabel secara bersemuka selama lapan tahun, menyifatkan pembatalan acara itu sebagai satu “tamparan hebat.”

Beliau turut merayu kepada Presiden Donald Trump agar mempertimbangkan semula dasar sempadannya dan membenarkan acara itu diteruskan.

Sementara itu, di sempadan berhampiran Sungai Rio Bravo, ahli keluarga yang terpisah hanya mampu melambai dan menggunakan teropong dari jarak kira-kira 100 meter untuk melihat wajah orang tersayang. - AFP

TETITIA YUSOFF